Friday, August 3, 2012

‘Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anugerah Sri Cemerlang Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu)'




Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (ali-Imran: 103)

Untuk mengeratkan lagi ukhuwah sesama ahli Kelab Perkim dan menghargai sumbangan dan komitmen mahasiswa dalam menjayakan usaha-usaha dakwah, Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Universiti telah menganjurkan  ‘Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anugerah Sri Cemerlang Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu)' bertempat di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda, Kuala Lumpur pada 27 Julai 2012.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mahathir dalam ucapannya berkata, Perkim sudah berkembang maju sejak ianya ditubuhkan pada era Tunku Abdul Rahman lagi.

Perkim akan diperkembangkan lagi dengan bantuan golongan muda melalui mahasiswa universiti untuk memberikan sumbangan, khidmat dan keprihatinan mereka kepada masyarakat sekeliling. Mahasiswa juga merupakan pelapis bangsa dan negara bagi menggantikan golongan yang sudah berumur.
Beliau menyeru mahasiswa supaya menyertai Perkim agar mencapai hasrat dan harapan serta mewarisi dakwah, kebajikan dan pendidikan Perkim.

Jelas Dr Mahathir, umat Islam haruslah sentiasa bersyukur kerana dilahirkan di dalam agama Islam dan mengamalkan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta mengikut mazhab Imam Syafie.
"Umat Islam Malaysia tidak perlulah berbalah kerana mereka merupakan penganut satu agama, satu mazhab dan satu imam," katanya.

Jelas Dr. Mahathir lagi, umat Islam perlu mengambil al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan agar tidak sesat daripada jalan kebenaran.

Anugerah Sri Cemerlang kategori Kelab Terbaik Keseluruhan diberikan kepada Kelab Perkim KUIS melalui wakilnya, Muhammad Shafiq Abdul Geni di mana anugerah tersebut mengiktirafkan kelab Perkim paling aktif menjalankan program dan aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan di dalam dan luar bandar sepanjang tahun 2012. Beliau menerima piala iringan dan cek bernilai RM3000.

Kategori Kepimpinan Cemerlang pula diberikan kepada Kelab Perkim UUM melalui Mohammad Hafis Shafiq Mohamad Sopian merangkumi kerja-kerja dakwah dan kebajikan yang melibatkan perpaduan, kerjasama, kedamaian serta persefahaman. Beliau menerima piala iringan dan cek bernilai RM2500.

Kategori Projek Terbaik diterima oleh ‘Ismat Arif Abu Hassan selaku Yang Dipertua Sekretariat Perkim UIAM cawangan Gombak, ia yang mendapat pengiktirafan sebagai kelab Perkim yang paling aktif dalam aktiviti-aktiviti program dakwah dan kebajikan Perkim yang berkesan kepada masyarakat berbilang kaum. Beliau menerima piala iringan dan cek bernilai RM2500.

Kategori Kelab Perkim Harapan pula disandang oleh Kelab Perkim UniKL MICET melalui Yang Dipertuanya, Mohd Amin Ariffin kerana mendapat pengiktirafan sebagai kelab Perkim baru yang giat aktif dalam aktiviti dakwah seperti seminar dan kemasyarakatan. Beliau juga menerima piala iringan dan cek bernilai RM2500.



 Bergambar dengan Yang Dipertua Perkim,Tun Dr.Mahathir Mohamad.


Bersama Perkim UIA Gombak yang diiktiraf kelab Perkim paling aktif.



Kepimpinan Perkim CFS IIUM yang hadir.