Thursday, November 4, 2010

PROGRAM SUSULAN KE KAMPUNG TANJUNG GAHAI


LAPORAN PROGRAM SUSULAN KE KAMPUNG TANJUNG GAHAI

Oleh : Siti Zaleha Binti Mustofa @ Mohd Zain

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan.” (Al-Baqarah, Ayat 176)

Pada 2 hingga 4 Oktober 2010, Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia(PERKIM) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (PAUIAM-PJ) telah menganjurkan Program Susulan ke Kampung Tanjung Gahai,Pahang. Seramai 15 orang peserta telah terlibat dalam menjayakan program ini. Program ini turut melibatkan pelajar-pelajar Tahun 4,5 dan 6 dari Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai iaitu seramai 45 orang.

Antara objektif program ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara pelajar tahun pertama PAUIAM-PJ dengan keluarga angkat di Kg. Tanjung Gahai dan memberi pendedahan kepada mereka untuk menjayakan sesuatu program. Selain itu, program ini bertujuan memberikan peluang kepada pelajar tahun pertama PAUIAM-PJ untuk berkongsi sedikit ilmu dengan adik-adik pelajar dari SK Tanjung Gahai serta untuk meningkatkan dan memberi dorongan kepada mereka untuk lebih maju dalam pelajaran. Di samping itu, objektif program ini adalah untuk mendidik akhlak islamiah seperti kerjasama dalam pasukan, toleransi dan bertanggungjawab dalam diri ahli PERKIM serta masyarakat Kg. Tanjung Gahai.

Selama 3 hari 2 malam berkampung di situ, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan. Pada hari pertama program, satu sesi suai kenal telah diadakan antara pelajar-pelajar SK Tanjung Gahai dengan pelajar tahun pertama PAUIAM-PJ. Kemudian, mereka dibahagikan kepada 5 buah kumpulan. Selepas itu,aktiviti riadah diadakan dan ternyata bahawa pelajar-pelajar amat seronok dan terhibur dengan aktiviti tersebut. Manakala pada sebelah malamnya pula, satu tayangan video yang berjudul “Over The Edge 2” telah ditayangkan. Berdasarkan tayangan video tersebut, terdapat beberapa pengajaran baik yang dapat diambil dan dijadikan iktibar dalam meniti kehidupan.

Keesokan harinya, program diteruskan lagi dengan slot “Sharing Moment”. Slot ini merupakan slot yang penting dan memberikan impak yang besar kepada pelajar-pelajar SK Tanjung Gahai. Hal ini demikian kerana slot ini melibatkan perkongsian ilmu dan pengalaman serta tip-tip kejayaan di samping teknik-teknik belajar antara pelajar PAUIAM-PJ dengan pelajar SK Tanjung Gahai. Dalam slot ini, para pelajar berpeluang untuk bertanya berbagai-bagai soalan yang bermain di minda mereka kepada pelajar-pelajar PAUIAM-PJ. Program pada hari kedua ini dimeriahkan lagi dengan acara sukaneka pada sebelah petangnya. Beberapa permainan menarik yang menyeronokkan lagi berfaedah dijalankan untuk pelajar-pelajar tersebut. Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang dan pihak-pihak terlibat serta sesi bergambar sebagai kenang-kenangan. Manakala pada sebelah malamnya pula, pelajar-pelajar dijemput untuk memeriahkan lagi majlis sambutan hari raya yang diadakan di kampung tersebut. Malam tersebut merupakan satu kenangan yang indah dan bermakna buat pelajar-pelajar. Pada malam yang sama juga, satu BBQ ringkas didakan antara pelajar-pelajar PAUIAM-PJ dan keluarga angkat.

Hari ketiga yang merupakan hari terakhir perkampungan kami di Kg. Tanjung Gahai dihabiskan bersama-sama keluarga angkat sebelum bertolak pulang pada sebelah petangnya. Kemesraan antara pelajar-pelajar dengan keluarga angkat yang terjalin terserlah meskipun tempoh perkampungan yang tidak begitu lama di sana. Namun begitu, jalinan kemesraan tersebut telah berjaya melahirkan rasa kasih sayang antara satu sama lain sehingga terciptanya detik-detik manis bersama sepanjang berkampung di sana.

Diharap agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang memandangkan program yang dijalankan pada kali ini mendapat respon yang positif daripada semua pihak. Malahan, program seumpama ini juga dapat memberi banyak manfaat kepada semua yang terlibat. Alhamdulillah,objektif program ini dapat dicapai dengan jayanya.

PERKIM : ISLAM ITU PERSAUDARAAN.
main2
ajar mengaji
tunggu nak maen
ldk
dengar briefing

No comments: