Friday, May 28, 2010

Ziarah Susulan Orang Asli Kampung Tanjung Gahai, Pantos Dan Trisu.

”Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya”. (Al-Ankabut, ayat 69)

Demi merapatkan ukhuwah yang di bina, sekali lagi mahasiswa Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Petaling Jaya dengan kerjasama Perkim Kebangsaan mengadakan program ziarah ke kampung angkat yang terpilih di Pahang iaitu Kampung Tanjung Gahai, Kampung Pantos dan Kampung Trisu pada 21 hingga 23 Mei lalu.

Program tersebut merupakan aktiviti susulan Jalinan Kasih yang telah diadakan beberapa kali pada muslim lalu. Atas mesej dakwah Islamiah, beberapa kakitangan dan pegawai Perkim mengharungi laluan tanah berbukit, kawasan hutan, anak sungai, ladang getah dan ladang kelapa sawit untuk tiba di perkampungan ini yang jaraknya 5 km dari perkampungan luar menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad berkata, program tersebut merupakan antara usaha pihak Perkim dalam mendampingi dan membantu masyarakat Orang Asli dari pelbagai suku kaum untuk membina peradaban Islam dalam kehidupan seharian mereka supaya lebih teratur dan efektif.

“Seramai 20 mahasiswa menghabiskan cuti mereka ke perkampungan tersebut bagi menimba pengalaman dan kefahaman tentang kehidupan kebudayaan adat resam dan pemikiran masyarakat Orang Asli terutama yang beragama Islam,” kata Suariza.

Dalam memartabatkan Islam di kampung tersebut, mahasiswa mensasarkan sekiranya kekerapan ziarah diadakan sepanjang tahun, perkembangan dan kemajuan Islam dapat difahami dan amalkannya secara baik oleh mereka.

“Matlamat dan objektif untuk menyebarkan agama Islam kepada saudara-saudara muslim, serta mengukuhkan tunjang keimanan sesama Islam dapat direalisasikan. Kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini amat dihargai. Hasil daripada ini, sedarlah bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyebarkan dakwah,” jelas Suariza.

Tegasnya lagi, jalinan persaudaraan yang harmoni di antara agensi dan pihak-pihak tertentu bersama masyarakat orang asli sangat digalakkan kerana persaudaraan Islam seperti ini mempamerkan kehebatan Islam berbanding agama lain.

“Dengan kerjasama berbagai pihak usaha dakwah yang dijalankan kepada masyarakat Orang Asli semakin menunjukkan kesan yang baik dari masa ke semasa khusus dalam aspek melahirkan saudara muslim yang bertaqwa, berilmu serta beriman,” kata Suariza.
Di Kampung Tanjung Gahai, peserta disambut baik dan diberikan layanan istimewa oleh Mahmud Abdullah sekeluarga kerana memilih rumahnya sebagai tempat kediaman. Menurutnya, penduduk kampung tersebut kebanyakkannya memeluk Islam beberapa tahun yang lepas dengan dorongan dan sokongan daripada beberapa badan-badan Islam yang secara tidak langsung keyakinan mereka terhadap Islam.

Peserta berpeluang berkunjung dan menziarahi beberapa rumah di sekitar kampung tersebut bertujuan untuk kenal mengenali antara satu sama lain bagi mewujudkan silaturrahim antara mereka. Antara rumah dikunjungi adalah Mokhtar Abdullah, Kamal Abdullah, Tajuddin Abdullah, Mat Noor Abdullah.

Seterusnya peserta ke Kampung Pantos, Sungai Koyan di mana rata-rata penduduk kampung dari suku kaum Semai menganut Islam sejak lebih 20 tahun lalu. Namun ada di antara mereka tidak mengamalkan Islam kerana kekurangan pendidikan, tenaga pengajar dan pendedahan tentang Islam.

Sementara itu, Tok Batin Pantos, Rahman Dollah, 75, berkata, dahulu kehidupan kaum Semai hidup secara nomad iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat lain di dalam hutan kerana mencari tempat baru untuk bercucuk taman atau berpindah atas sebab-sebab kematian, diganggu oleh orang luar, binatang buas dan wabak penyakit. Secara tradisinya mereka hidup dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada 15 hingga 60 kelamin.

Menurutnya lagi, mereka mengamalkan ekonomi tradisional berasaskan pertanian sara diri. Padi huma, sekoi, jagung, ubi kayu, pisang, keladi dan berbagai jenis sayur-sayuran seperti labu, kacang panjang, timun, kacang bendi adalah hasil tanaman mereka.

“Kaum Semai mengamalkan sistem barter dengan bertukar-tukar makanan, perkhidmatan dan keperluan lain secara berkongsi. Tidak ada urusan jual beli dilakukan. Sistem tersebut akan mengeratkan lagi silaturahim dan semangat setia kawan di samping mewujudkan kemesraaan di kalangan mereka,” jelas Rahman.

Kata Rahman lagi, memburu dan menangkap ikan juga merupakan pekerjaan utama penduduk kampung. Peralatan memburu seperti buluh sumpit, jerat, belatik dan perangkap mudah diperolehi di hutan. Antara jenis binatang yang diburu ialah monyet, kera, babi hutan, burung, biawak, tupai dan binatang kecil yang lain. Hasil hutan seperti rotan, damar, buluh, cendana dan gaharu pula hasil yang memberikan pendapatan lumayan kepada mereka.

Pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya memasak secara bergotong-royong bersama penduduk kampung dan membersihkan kawasan surau. Antara aktiviti sukaneka yang mendapat perhatian penduduk kampung adalah sumpit botol, tarik guni, boling padang, lastik botol dan sebagainya.

Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka yang disampaikan oleh Suariza.

Seterusnya peserta ke perkampungan Orang Asli Kampung Trisu, Cameron Highland di mana penempatan suku kaum Jahai.

Menurut salah seorang penduduk Kampung Trisu, Quek Abdullah, mereka yang dari suku kaum tersebut masih semi-nomaden, memilih untuk mengambil keuntungan dari hasil hutan. Ada di antara pemudi pemuda meraih pendapatan dengan bekerja di kota.

“Kaum di sini merupakan keturunan dari penduduk awal di Semenanjung. Ia telah mengemukakan bahawa mereka tetap jauh dari identiti mereka hingga ke hari ini kerana mereka relatif terpencil dari masyarakat lain dan kekuatan perubahan,” jelas Quek.

Menurut Quek lagi, suku kaum Jahai adalah kategori Orang Asli Negrito di mana pecahan kumpulan tersebut mempunyai suku kaum seperti Bateq, Kensiu, Kintaq, Lanoh dan Mendriq.

Peserta berpeluang melawat ladang sayur-sayuran dan tanaman tomato hasil pertanian penduduk kampung di samping menikmati kesegaran alam semulajadi di kawasan berbukit .

Quek berkata, penanaman tersebut merangkumi beberapa faktor bagi penanaman di kawasan tanah tinggi. Ianya bergantung kepada penyediaan anak benih, kawasan, pembajaan, pengurusan air, pengurusan serangga perosak dan kematangan serta pengutipan hasil.

Turut hadir, Pegawai Dakwah Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Jamilaton Noor Hashim, Yang Dipertua Kelab Perkim UIA, Muhd. Kamarul Izad Muhamad Nazri serta sukarelawan Perkim, Hj. Md. Nor Hashim Mohamed dan Widad Mat Ali.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/359.jpg
Mahasiswa UIAM bersama-sama bergambar sewaktu menziarah Mak Ji salah seorang isteri kepada mualaf.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/622.jpg
Bergotong-royong membasuh bahan mentah untuk penyediaan makanan di Kampung Pantos.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/818.jpg
Bergotong-royong menyediakan juadah makan tengahari.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1015.jpg
Tidak melepaskan peluang…Pegawai Dakwah PERKIM, Farhan (kiri) dan Suariza (bertudung biru) turut serta dalam aktiviti penyediaan makanan.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1219.jpg
Sukarelawan, mahasiswa UIA dan penduduk bersama-sama memasak untuk juadah tengahari.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1317.jpg
Ceria… Bergambar bersama kanak-kanak orang Asli Kampung Pantos.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1513.jpg
Acara sukaneka melastik botol kategori kanak-kanak lelaki.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1812.jpg
Golongan ibu Kampung Pantos turut hadir memberi sokongan.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1911.jpg
Salah seorang penduduk kampong mengambil bahagian dalam sumpit botol.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2311.jpg
Tok Batin Pantos, Rahman Dollah menyampaikan hadiah kepada pemenang.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2610.jpg
Kenangan mahasiswa bersama bergambar kenangan di rumah Mahmud dan isteri.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2411.jpg
Urus setia Perkim Kebangsaan bergambar bersama Tok Batin Pantos, Rahman Dollah (empat dari kanan).
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/288.jpg
Bergambar kenangan di kebun sayur-sayuran Kampung Trisu.

Sunday, May 16, 2010

Mampukah aku .....?



Epigraf

Kadang-kadang , bila diamanahkan sesuatu , kita rasa ragu-ragu .
Kadang-kadang , bila kehadapan untuk menyampaikan , tiba-tiba terdetik ; "bukanlah aku selayaknya" .
Kadang-kadang , bila bercita-cita tinggi , terasa seakan mustahil pula ~




Katakan pada diri ..

Perkara pertama yang Allah mahukan daripada kamu ialah , kamu mesti YAKIN pada diri sendiri . Kamu perlu sedari kedudukan kamu . Kamu perlu YAKIN bahawa kamu adalah pemimpin dunia , walaupun , musuh-musuh kamu cuba merendah-rendahkan kamu . Kamu juga perlu YAKIN bahawa kamu adalah guru buat seluruh manusia , walaupun , secara zahirnya orang lain lebih menguasai kehidupan ini . Namun , segala kesudahan akan berpihak pada orang yang bertaqwa .

Oleh itu ,

Wahai Pemuda ..

Perbaharuilah keYAKINan kamu . Tetapkan MATLAMAT dan HALA TUJU kamu . Kekuatan pertama adalah keYAKINan . KeYAKINan akan melahirkan perpaduan . Perpaduan pula pasti akan membuahkan kemenangan . Jadi berimanlah dan pupuklah persaudaraan . Seterusnya , tunggu dan lihat , kemenangan pasti menjelma .

Wahai Pemuda ..

Dunia ketika ini sedang kebingungan dan kehilangan arah . Apa sahaja system yang ada di dunia kini telah gagal menyelesaikan masalahnya . Dan hanya satu sahaja ubat yang masih ada iaitu ISLAM .

Oleh itu , maralah dengan nama Allah untuk menyelamatkan dunia ini . Seluruh manusia sedang menanti-nantikan orang yang bakal menyelamatkan mereka …

Hanya risalah ISLAM sahaja sebagai penyelamat dan KAMUlah pemegang obornya !



-asSyahid Imam Hassan alBanna-





Epilog


Bila ragu-ragu , yakinlah , ini anugerah Ilahi dan pasti dirimu mampu !

Bila terdetik "bukanlah aku selayaknya" di hati , janganlah berundur dan duduk , tetapi maralah dan yakinlah , "Allah jua sebaik-baik tempat bergantung harap dan padaNya sahajalah aku berserah !"


Bila terasa mustahil dek bercita-cita tinggi , yakinlah dirimu mampu merealisasikannya ! Impian yang besar lahir daripada jiwamu yang besar

~sama-samalah kita muhasabah diri untuk jadi yang terbaik untuk Islam,Malaysia dan keluarga kita...Insha Allah../(^-^)\

Wednesday, May 12, 2010

Jelajah ukhuwah, Kg. Trisu, Cameron Highland.

Laporan daripada web Perkim Kebangsaan(klik utk ke web):
'Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan bahawa dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa,dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka dalam agama yang telah dia redhai.Dan dia benar-benar mengubah keadaam mereka setelah berada dalam ketakutan. Mereka tetap menyembahku dengan tidak mempersekutukanku dengan sesuatu pun.Tetapi, barangsiapa tetap kafir setelah janji itu,maka mereka itulah tetap orang-orang yang fasik.'(Surah An-Nur:55)
Berdakwah itu bukan hanya terhad dilakukan di masjid mahupun di majlis-majlis ilmu, tetapi pendekatan itu seharusnya lebih luas dan boleh dilaksanakan terus kepada masyarakat.
Baru-baru ini Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (PAUIAM-Kampus PJ) telah menganjurkan program Jelajah Ukhuwah Perkampungan Orang Asli Kampung Trisu, Kuala Tringkap, Cameron Highland, Pahang Darul Makmur.
Seramai 15 peserta terlibat dalam jelajah ini dengan kerjasama Perkim Kebangsaan. Program pada 7 hingga 9 Mei yang lalu ini berjaya dilaksanakan oleh pendakwah muda tersebut.
Menurut Penyelaras Program Hj. Md. Nor Hashim Mohamed, program tersebut bertujuan untuk merapatkan ukhuwah di antara masyarakat perkampungan orang asli dengan pendakwah-pendakwah supaya mereka tidak segan dengan kunjungan masyarakat luar di lain masa untuk mempelajari ilmu-ilmu keagamaan, khususnya masyarakat kampung yang beragama islam walaupun masih ramai masyarakat yang bukan beragama islam.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan berkata aktiviti yang menjadi peneraju kejayaan program ini adalah aktiviti anak angkat dan ziarah masyarakat di seluruh kampung tersebut.
“Usaha murni ahli-ahli kelab Perkim PAUIAM ini sangat berkesan kerana melalui lawatan yang dibuat oleh penyelaras dan pimpinan program yang lepas, didapati ramai masyarakat sangat menginginkan kehadiran para pendakwah ini dalam usaha mereka mempelajari ilmu agama Islam,” ujar Md. Nor.
Selama 2 hari berkampung di Kuala Tringkap, banyak aktiviti dapat dilakukan dan didedahkan bersama orang kampung. Antaranya ialah beramah mesra atau suai kenal ahli kelab dengan masyarakat rumah ke rumah, aktiviti masak-memasak bersama penduduk kampung dan diselangi dengan permainan seperti batu seremban, ’dart’, catur dan dam.
Program disusuli pada sebelah malamnya dengan sesi berkongsi pengalaman oleh ahli-ahli kelab dan masyarakat selepas menunaikan solat dan mendengar tazkirah daripada ahli kelab itu sendiri yang diketuai oleh Muhammad Marzuqi pelajar jurusan Seni Bina PAUIAM.
Daripada perkongsian itu,mereka menceritakan asal usul nama kampung dan masalah-masalah yang sering dihadapi oleh mereka. Mereka berkata kebanyakan penduduk kampung ini mendapat pendidikan awal daripada Sekolah Kebangsaan Terisu di Kampung Pos Trisu dan mereka terpaksa menyewa van untuk ke sana. Kekangan ini timbul disebabkan kampung ini terletak jauh di pedalaman dan keadaan jalan yang tidak sempurna.
Begitu juga dengan pendidikan agama yang diterima agak tidak konsisten dan berterusan dek kerana masalah pengangkutan dan tempat tinggal yang dialami oleh guru agama yang lebih selesa tinggal di Tanah Rata walaupun ada beberapa rumah disediakan di sekitar sekolah.
Sementara itu, mereka tidak lepaskan peluang untuk melawat kebun-kebun tanaman orang kampung yang diterajui oleh Tok Batin. Hal ini kerana, berkebun adalah sumber utama pendapatan orang kampung. Kami dibawa melawat kebun sayur-sayuran seperti tomato, sawi, jagung, kacang panjang, lada dan lain-lain serta diberi pendedahan dan tunjuk ajar cara dan kaedah penjagaan tanaman dengan betul.
Selain itu, peserta juga berkesempatan menghadiri jamuan makan malam bersempena meraikan Hari Ibu pada 9 Mei bagi mengenang jasa dan pengorbanan seorang ibu yang telah mengandungkan, menyusukan, menyuapkan makan dan minum, mendodoi dan menidurkan, mendidik serta membesarkan hingga dewasa.
Destinasi terakhir, peserta di bawa melawat dan ziarah ke Kampung Trimau dan Kampung Pos Trisu yang menepatkan sekolah rendah bagi anak-anak di situ dengan menaiki trak.
Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka disampaikan oleh Hj. Md. Nor Hashim Mohamed dan wakil ahli kelab Nurul Najihah Ismail dan Maziah Mat Abdul Ghani.
Majlis diserikan lagi dengan berselawat dan bersalam-salaman antara peserta dan masyarakat kampung tanda berakhirnya program tersebut sehingga ada di antara mereka yang menitiskan air mata tanda kasih dan rindu untuk berpisah.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1101.jpg
Penerangan tanaman sayur-sayuran di kebun salah seorang penduduk kampung orang asli
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/249.jpg
Peserta di bawa ziarah dan melawat ke perkampungan berhampiran dengan menaiki trak.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/524.jpg
Aktiviti bermain dam oleh kanak-kanak kampung.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/816.jpg
Peserta dan masyarakat kampung bergambar kenang-kenangan di akhir program.
Oleh: Nurul Fattihah Binti Zahari (Penolong Biro Dokumentasi dan Penerbitan Kelab Perkim PAUIAM)

Laporan Lawatan Kembara Berperahu ke Kg.Harung, Pahang.

Bismillahirrahmanirrahim,
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan rahmat-Nya, Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PAUIAM) cawangan Petaling Jaya telah berjaya mengikuti kembara berperahu ke perkampungan orang asli, Kg. Perangkap , Pahang pada 23hingga 25 APRIL yang lalu. Program ini berlangsung selama 2 hari 1malam yang disertai oleh 4 wakil uia dan 27 orang dari TMNET. Program ini telah diketuai oleh Tuan Haji Mohd Noor Hashim.
Program ini merupakan program berkala yang diadakan dua minggu sekali dengan memasuki empat buah perkampungan orang asli secara bergilir-gilir. Program ini bertujuan untuk mendedahkan para pelajar tentang kehidupan orang asli yang perlu diberi perhatian terutamanya dari segi ilmu agama.
Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sebagai pengisian bagi program tersebut antaranya solat jemaah, tazkirah, memasak serta beramah mesra dengan penduduk kampung, sukaneka dan sebagainya. Penduduk kampung memberi respon yang sangat memberansangkan dengan melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dijalankan. Mereka membantu dan memberi tunjuk ajar kepada para peserta terutamanya dari segi cara memasak. Mereka juga ringan tangan membantu kami menyediakan makan tengahari.
Majlis penutupan program ini telah dirasmikan oleh Tok Batin Kampung Harung. Dalam ucapan beliau, sekalung apresiasi diberikan kepada jawatankuasa yang telah Berjaya menguruskan program ini dengan baik sekali. Pihak penaja dan PERKIM sendiri juga merakamkan rasa puas hati mereka terhadap program pada kali ini dan berharap program sebegini akan memberi impak kepada para peserta. Di samping itu, banyak pihak menyarankan agar lebih banyak program yang kreatif dan dinamik akan dijalankan oleh Kelab PERKIM PAUIAM dan diharapkan Kelab PERKIM PAUIAM mampu bersaing dengan Kelab PERKIM di universiti- universiti yang lain.
Program yang tamat sekitar jam 10 pagi ini telah memberikan gambaran yang jelas tentang skop kerja dan skop tugas para peserta.Hal ini dapat menjadikan gerak kerja yang akan dilakukan selepas ini akan menjadi lebih teratur dan sistematik.Akhir kata semoga ukhwah yang terbina antara ahli-ahli kelab PERKIM sama ada yang baru mahupun yang lama akan terus berkekalan bersesuaian dengan tema kelab PERKIM “Islam Itu Persaudaraan”.Semoga semua ahli kelab PERKIM Pusat Asasi UIAM,PJ akan bersama-sama berganding bahu untuk memajukan kelab PERKIM dan sama-sama mendapat manfaat,pengalaman dan ilmu yang berguna daripadanya.
Disediakan oleh: NORAIN BINTI ZAINUDIN(Setiausaha Kelab PERKIM Pusat Asasi UIAM,PJ)