Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan rahmat-Nya, Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PAUIAM) cawangan Petaling Jaya telah berjaya mengikuti kembara berperahu ke perkampungan orang asli, Kg. Perangkap , Pahang pada 23hingga 25 APRIL yang lalu. Program ini berlangsung selama 2 hari 1malam yang disertai oleh 4 wakil uia dan 27 orang dari TMNET. Program ini telah diketuai oleh Tuan Haji Mohd Noor Hashim.
Program ini merupakan program berkala yang diadakan dua minggu sekali dengan memasuki empat buah perkampungan orang asli secara bergilir-gilir. Program ini bertujuan untuk mendedahkan para pelajar tentang kehidupan orang asli yang perlu diberi perhatian terutamanya dari segi ilmu agama.
Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sebagai pengisian bagi program tersebut antaranya solat jemaah, tazkirah, memasak serta beramah mesra dengan penduduk kampung, sukaneka dan sebagainya. Penduduk kampung memberi respon yang sangat memberansangkan dengan melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dijalankan. Mereka membantu dan memberi tunjuk ajar kepada para peserta terutamanya dari segi cara memasak. Mereka juga ringan tangan membantu kami menyediakan makan tengahari.
Majlis penutupan program ini telah dirasmikan oleh Tok Batin Kampung Harung. Dalam ucapan beliau, sekalung apresiasi diberikan kepada jawatankuasa yang telah Berjaya menguruskan program ini dengan baik sekali. Pihak penaja dan PERKIM sendiri juga merakamkan rasa puas hati mereka terhadap program pada kali ini dan berharap program sebegini akan memberi impak kepada para peserta. Di samping itu, banyak pihak menyarankan agar lebih banyak program yang kreatif dan dinamik akan dijalankan oleh Kelab PERKIM PAUIAM dan diharapkan Kelab PERKIM PAUIAM mampu bersaing dengan Kelab PERKIM di universiti- universiti yang lain.
Program yang tamat sekitar jam 10 pagi ini telah memberikan gambaran yang jelas tentang skop kerja dan skop tugas para peserta.Hal ini dapat menjadikan gerak kerja yang akan dilakukan selepas ini akan menjadi lebih teratur dan sistematik.Akhir kata semoga ukhwah yang terbina antara ahli-ahli kelab PERKIM sama ada yang baru mahupun yang lama akan terus berkekalan bersesuaian dengan tema kelab PERKIM “Islam Itu Persaudaraan”.Semoga semua ahli kelab PERKIM Pusat Asasi UIAM,PJ akan bersama-sama berganding bahu untuk memajukan kelab PERKIM dan sama-sama mendapat manfaat,pengalaman dan ilmu yang berguna daripadanya.
Disediakan oleh: NORAIN BINTI ZAINUDIN(Setiausaha Kelab PERKIM Pusat Asasi UIAM,PJ)
No comments:
Post a Comment