Friday, May 28, 2010

Ziarah Susulan Orang Asli Kampung Tanjung Gahai, Pantos Dan Trisu.

”Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya”. (Al-Ankabut, ayat 69)

Demi merapatkan ukhuwah yang di bina, sekali lagi mahasiswa Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Petaling Jaya dengan kerjasama Perkim Kebangsaan mengadakan program ziarah ke kampung angkat yang terpilih di Pahang iaitu Kampung Tanjung Gahai, Kampung Pantos dan Kampung Trisu pada 21 hingga 23 Mei lalu.

Program tersebut merupakan aktiviti susulan Jalinan Kasih yang telah diadakan beberapa kali pada muslim lalu. Atas mesej dakwah Islamiah, beberapa kakitangan dan pegawai Perkim mengharungi laluan tanah berbukit, kawasan hutan, anak sungai, ladang getah dan ladang kelapa sawit untuk tiba di perkampungan ini yang jaraknya 5 km dari perkampungan luar menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad berkata, program tersebut merupakan antara usaha pihak Perkim dalam mendampingi dan membantu masyarakat Orang Asli dari pelbagai suku kaum untuk membina peradaban Islam dalam kehidupan seharian mereka supaya lebih teratur dan efektif.

“Seramai 20 mahasiswa menghabiskan cuti mereka ke perkampungan tersebut bagi menimba pengalaman dan kefahaman tentang kehidupan kebudayaan adat resam dan pemikiran masyarakat Orang Asli terutama yang beragama Islam,” kata Suariza.

Dalam memartabatkan Islam di kampung tersebut, mahasiswa mensasarkan sekiranya kekerapan ziarah diadakan sepanjang tahun, perkembangan dan kemajuan Islam dapat difahami dan amalkannya secara baik oleh mereka.

“Matlamat dan objektif untuk menyebarkan agama Islam kepada saudara-saudara muslim, serta mengukuhkan tunjang keimanan sesama Islam dapat direalisasikan. Kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini amat dihargai. Hasil daripada ini, sedarlah bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyebarkan dakwah,” jelas Suariza.

Tegasnya lagi, jalinan persaudaraan yang harmoni di antara agensi dan pihak-pihak tertentu bersama masyarakat orang asli sangat digalakkan kerana persaudaraan Islam seperti ini mempamerkan kehebatan Islam berbanding agama lain.

“Dengan kerjasama berbagai pihak usaha dakwah yang dijalankan kepada masyarakat Orang Asli semakin menunjukkan kesan yang baik dari masa ke semasa khusus dalam aspek melahirkan saudara muslim yang bertaqwa, berilmu serta beriman,” kata Suariza.
Di Kampung Tanjung Gahai, peserta disambut baik dan diberikan layanan istimewa oleh Mahmud Abdullah sekeluarga kerana memilih rumahnya sebagai tempat kediaman. Menurutnya, penduduk kampung tersebut kebanyakkannya memeluk Islam beberapa tahun yang lepas dengan dorongan dan sokongan daripada beberapa badan-badan Islam yang secara tidak langsung keyakinan mereka terhadap Islam.

Peserta berpeluang berkunjung dan menziarahi beberapa rumah di sekitar kampung tersebut bertujuan untuk kenal mengenali antara satu sama lain bagi mewujudkan silaturrahim antara mereka. Antara rumah dikunjungi adalah Mokhtar Abdullah, Kamal Abdullah, Tajuddin Abdullah, Mat Noor Abdullah.

Seterusnya peserta ke Kampung Pantos, Sungai Koyan di mana rata-rata penduduk kampung dari suku kaum Semai menganut Islam sejak lebih 20 tahun lalu. Namun ada di antara mereka tidak mengamalkan Islam kerana kekurangan pendidikan, tenaga pengajar dan pendedahan tentang Islam.

Sementara itu, Tok Batin Pantos, Rahman Dollah, 75, berkata, dahulu kehidupan kaum Semai hidup secara nomad iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat lain di dalam hutan kerana mencari tempat baru untuk bercucuk taman atau berpindah atas sebab-sebab kematian, diganggu oleh orang luar, binatang buas dan wabak penyakit. Secara tradisinya mereka hidup dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada 15 hingga 60 kelamin.

Menurutnya lagi, mereka mengamalkan ekonomi tradisional berasaskan pertanian sara diri. Padi huma, sekoi, jagung, ubi kayu, pisang, keladi dan berbagai jenis sayur-sayuran seperti labu, kacang panjang, timun, kacang bendi adalah hasil tanaman mereka.

“Kaum Semai mengamalkan sistem barter dengan bertukar-tukar makanan, perkhidmatan dan keperluan lain secara berkongsi. Tidak ada urusan jual beli dilakukan. Sistem tersebut akan mengeratkan lagi silaturahim dan semangat setia kawan di samping mewujudkan kemesraaan di kalangan mereka,” jelas Rahman.

Kata Rahman lagi, memburu dan menangkap ikan juga merupakan pekerjaan utama penduduk kampung. Peralatan memburu seperti buluh sumpit, jerat, belatik dan perangkap mudah diperolehi di hutan. Antara jenis binatang yang diburu ialah monyet, kera, babi hutan, burung, biawak, tupai dan binatang kecil yang lain. Hasil hutan seperti rotan, damar, buluh, cendana dan gaharu pula hasil yang memberikan pendapatan lumayan kepada mereka.

Pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya memasak secara bergotong-royong bersama penduduk kampung dan membersihkan kawasan surau. Antara aktiviti sukaneka yang mendapat perhatian penduduk kampung adalah sumpit botol, tarik guni, boling padang, lastik botol dan sebagainya.

Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka yang disampaikan oleh Suariza.

Seterusnya peserta ke perkampungan Orang Asli Kampung Trisu, Cameron Highland di mana penempatan suku kaum Jahai.

Menurut salah seorang penduduk Kampung Trisu, Quek Abdullah, mereka yang dari suku kaum tersebut masih semi-nomaden, memilih untuk mengambil keuntungan dari hasil hutan. Ada di antara pemudi pemuda meraih pendapatan dengan bekerja di kota.

“Kaum di sini merupakan keturunan dari penduduk awal di Semenanjung. Ia telah mengemukakan bahawa mereka tetap jauh dari identiti mereka hingga ke hari ini kerana mereka relatif terpencil dari masyarakat lain dan kekuatan perubahan,” jelas Quek.

Menurut Quek lagi, suku kaum Jahai adalah kategori Orang Asli Negrito di mana pecahan kumpulan tersebut mempunyai suku kaum seperti Bateq, Kensiu, Kintaq, Lanoh dan Mendriq.

Peserta berpeluang melawat ladang sayur-sayuran dan tanaman tomato hasil pertanian penduduk kampung di samping menikmati kesegaran alam semulajadi di kawasan berbukit .

Quek berkata, penanaman tersebut merangkumi beberapa faktor bagi penanaman di kawasan tanah tinggi. Ianya bergantung kepada penyediaan anak benih, kawasan, pembajaan, pengurusan air, pengurusan serangga perosak dan kematangan serta pengutipan hasil.

Turut hadir, Pegawai Dakwah Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Jamilaton Noor Hashim, Yang Dipertua Kelab Perkim UIA, Muhd. Kamarul Izad Muhamad Nazri serta sukarelawan Perkim, Hj. Md. Nor Hashim Mohamed dan Widad Mat Ali.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/359.jpg
Mahasiswa UIAM bersama-sama bergambar sewaktu menziarah Mak Ji salah seorang isteri kepada mualaf.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/622.jpg
Bergotong-royong membasuh bahan mentah untuk penyediaan makanan di Kampung Pantos.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/818.jpg
Bergotong-royong menyediakan juadah makan tengahari.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1015.jpg
Tidak melepaskan peluang…Pegawai Dakwah PERKIM, Farhan (kiri) dan Suariza (bertudung biru) turut serta dalam aktiviti penyediaan makanan.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1219.jpg
Sukarelawan, mahasiswa UIA dan penduduk bersama-sama memasak untuk juadah tengahari.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1317.jpg
Ceria… Bergambar bersama kanak-kanak orang Asli Kampung Pantos.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1513.jpg
Acara sukaneka melastik botol kategori kanak-kanak lelaki.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1812.jpg
Golongan ibu Kampung Pantos turut hadir memberi sokongan.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1911.jpg
Salah seorang penduduk kampong mengambil bahagian dalam sumpit botol.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2311.jpg
Tok Batin Pantos, Rahman Dollah menyampaikan hadiah kepada pemenang.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2610.jpg
Kenangan mahasiswa bersama bergambar kenangan di rumah Mahmud dan isteri.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2411.jpg
Urus setia Perkim Kebangsaan bergambar bersama Tok Batin Pantos, Rahman Dollah (empat dari kanan).
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/288.jpg
Bergambar kenangan di kebun sayur-sayuran Kampung Trisu.

No comments: