“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik.”
(Surah Ar-Rum: 69)
Berbekalkan rasa tanggungjawab sebagai seorang muslim untuk membantu muslim yg lain, seramai 7 orang sukarelawan daripada Persatuan PERKIM UIA, Petaling Jaya dan seorang wakil Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), telah turun padang pada 11-13 Jun ke perkampungan orang asli yang terletak di Sungai Siput, Perak. Program ini telah diketuai oleh Ahli Jawatankuasa Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan iaitu, Tuan Hj. Md. Noor hashim.
Semua sukarelawan yang terlibat telah berkumpul di UIA, PJ. Dari sini, lebih kurang pada pukul 3 petang, kami bertolak ke cheras di mana proses pengambilan bekalan untuk dibawa ke sana telah dilakukan. Selepas itu, tepat pada pukul 4.35 petang, peserta memulakan jelajah ke Sg. Siput dengan menaiki 2 buah kereta di mana sebuah kereta dinaiki oleh muslimin dan sebuah lagi digunakan oleh muslimat.
Dalam perjalanan ke sana, peserta jelajah ini telah berhenti sebentar di pasaraya TF, Perak untuk membeli kperluan makanan selain ke sebuah lagi kedai untuk membeli arang untuk dibawa ke sana.
Alhamdulillah, pada pukul 9.30 malam, walaupun perjalanan mereka diiringi oleh hujan lebat, jalan yang licin dan sesak, kesemua peserta telah selamat sampai ke rumah salah seorang penduduk di Kg. Chenein, Sg. Siput yang telah bemurah hati menumpangkan rumahnya untuk para sukarelawan ini bermalam. Setibanya mereka di sana, para peserta terus menurunkan barang-barang yang dibawa ke rumah penduduk tersebut.
Kemudian, para peserta membahagikan kerja di antara mereka untuk memastikan proses penyediaan juadah makan malam berjalan lancar. Juadah makan malam para peserta dan penduduk pada malam itu berkonsepkan barat iaitu ‘bbq istimewa’. Sukarelawan lelaki telah bertungkus lumus menyalakan api dan membakar ayam, dimana sukarelawan wanita pula sibuk didapur bagi menyediakan bahan-bahan untuk dibakar, membancuh air serta menyediakan ‘garden salad’ sebagai pelengkap hidangan mereka dan penduduk pada malam tersebut.
Apabila semua hidangan telah siap sedia terhidang, peserta menjamu selera bersama-sama dengan penduduk. Alhamdulillah kunjungan kali ini ke kampung tersebut sangat tepat pada masanya, kebetulan pada waktu ini pokok durian sedang berbuah lebat. Para peserta telah dijamu oleh tuan rumah, Abang Sofi dengan buah durian yang sangat lazat yang dikutip di dusun miliknya.
Waktu berlalu tanpa disedari, jam telah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Semua sukarelawan serta dibantu oleh penduduk kampung bantu- membantu membersihkan sisa makanan, membasuh pinggan serta menyapu sampah bagi memastikan kebersihan rumah bersih seperti sedia kala. Setelah itu, para peserta semua membersihkan diri dan tidur.
Pada keesokkan harinya, seawal subuh para peserta telah bangun serta bersiap- siap untuk melaksanakan solat subuh secara berjemaah. Solat subuh pada pagi ini diimamkan oleh salah seorang sukarelawan, Muhammad Marzuqi Bin Rameli.
Kemudian, sekali lagi para peserta bersama-sama berganding bahu untuk menyediakan menu sarapan pagi iaitu nasi goreng. Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat mengukuhkan lagi ukhuwah di antara peserta, malah ukhuwah di antara penduduk kampung juga turut terjalin.
Perkara ini ada kaitannya dengan kata- kata H.E Luccock yang berbunyi, “satu orang tidak dapat menghasilkan simfoni. Ianya memerlukan sebuah orkestra.”
Di samping itu, para peserta juga banyak memperoleh ilmu baru yang berkaitan dengan cara memasak melalui pertanyaan semasa aktiviti ini dijalankan, bak kata pepatah ‘ malu bertanya sesat jalan’.
Selepas selesai bersarapan, para peserta diiringi oleh penduduk kampung meneruskan misi yang sebenar iaitu mendekati dan menyelami penduduk org asli untuk mengetahui kehidupan mereka yang sbenar. Di dalam perjalanan yg dipandu oleh Abang sofi, para peserta telah berjumpa dengan ketua Kampung Kuala Chenein dan Kampung Peroi iaitu, Ustaz Musa Bin Hitam, di Jalan Perlop 3 .
Menurut ustaz, “di kawasan tersebut, terdapat 6 buah kampung orang asli iaitu Kampung Kuala Cenein dan Kampung Peroi yang ditadbir oleh Ustaz Musa sendiri, Kampung Jong oleh Encik Alum bin Alang, Kampung Gajang oleh Encik Abdullah bin Ngah, Kampung Baung oleh Encik Long bin Salleh dan Kampung Ulu Cenein oleh Encik Ajis bin Alang. Secara puratanya, sesebuah kampung didiami oleh 250 orang penduduk di mana 90% daripada penduduknya adalah beragama Islam daripada keturunan Semai dan Temia.”
Tambah beliau, “di antara 6 kampung tersebut, Kampung Baung adalah kampung terbesar di kawasan itu. Walau bagaiamanapun, kampung tersebut tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap dan memaksa penduduknya untuk keluar mencari pendapatan di kampung lain. Rata-rata penduduk di kampung lain pula bekerja sebagai penoreh dan bekerja di ladang kelapa sawit di bawah kelolaan RISDA dan PETRA. Pendapatan yang diperoleh puratanya sebanyak RM 700 tidak cukup untuk menampung keperluan hidup mereka yang kebanyakannya terdapat 7 orang ahli dalam satu keluarga. “
“Dalam kontek kemudahan pendidikan pula, sekolah rendah yang paling dekat dengan kampung-kampung tersebut ialah SK Cenein. Manakala sekolah menengah berdekatan ialah SMK Lasah yang terletak kira-kira 15 km dari kediaman mereka. Terdapat perkhidmatan bas disediakan untuk para pelajar yang dibiayai penuh oleh Jabatan Pendidikan. Di samping itu, terdapat juga sekolah agama yang didirikan di Kg. Kenang. “ Kata Ustaz Musa.
Bercakap mengenai tahap pendidikan yang telah dicapai oleh anak- anak orang asli, terdapat segentir dikalangan mereka telahpun berjaya mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Ada diantara mereka yang telah berjaya menyambung pelajaran sehingga ke menara gading serta maktab perguruan.
Mereka mendapat pendidikan agama melalui para mubaligh yang masuk ke kampung-kampung secara berkala. Tahap pendidikan agama pula sentiasa diselia oleh 2 orang petugas Jabatan Agama Islam bagi setiap kampung. Pada setiap hari Jumaat, kaum lelaki akan bersembahyang Jumaat di sebuah masjid yang terletak di Kampung Lasah.
Pada penyelidikan dan pemerhatian para peserta dari aspek kemudahan infrastruktur pula, kampung-kampung ini masih tidak dilengkapi dengan kemudahan asas yang cukup. Sebagai contohnya, Kampung Gajang dan Kampung Jong masih tidak mendapat kemudahan elektrik disebabkan kedudukan geografinya yang terlalu terpencil. Selain itu, kemudahan jalan yang berturap juga yang menghubungkan antara satu kampung dengan kampung yang lain juga berada di tahap yang amat tidak memuaskan di mana jalannya berlopak-lopak di sana sini. Hal ini akan mengundang bahaya kepada penduduk. Walaubagaimanapun, mereka terpaksa mengambil risiko kerana tiada alternatif lain untuk berhubung.
“Masalah utama yang dibelenggu para penduduk adalah sumber pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian mereka. Di samping itu, mereka juga diasak dengan masalah sosial seperti seperti minum arak selain masalah penyakit berjangkit seperti tuberkulosis (TB). Tetapi hal ini diatasi dengan adanya pasukan kesihatan yang masuk ke kampung seminggu sekali bagi memantau kesihatan para penduduk. Ada juga segelintir daripada para penduduk masih kuat dengan kepercayaan karut seperti mempercayai bomoh.” Tambah Ustaz Musa yang juga bekerja sebagai penoreh getah.
Setelah selesai menemu ramah Ustaz Musa, para peserta berpeluang untuk menziarahi kampung- kampung tersebut lebih dekat bagi melihat dan merasai sendiri cara hidup sebenar masyarakat asli di sini. Sukarelawan tidak melepaskan peluang bergambar bersama-sama untuk dijadikan kenangan. Selepas itu, peserta sukarelawan Perkim ini bertolak pulang ke rumah tempat bermalam untuk bersiap-siap dan berkemas untuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur.
Kira- kira pada pukul 11 pagi, peserta bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Di dalam perjalanan pulang, peserta singgah makan di dua buah kenduri kenalan ketua program.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepadanya, dan berjihadlah(berjuanglah) di jalannya agar kamu beruntung”
(Surah Al-Maidah: 35)
Alhamdulillah, para sukarelawan Perkim selamat tiba di Kuala Lumpur kira-kira pada pukul 8.30 malam. Moga-moga misi pada kali ini mendapat keberkatan dari-Nya dan menjadi salah satu perkara untuk menuju ke Jannah Allah. Seperti yang umum ketahui, sunnah terbesar yang ditinggalkan Rasulullah kepada umatnya ialah Jihad untuk menegakkan agama Islam.
“Jika anda tidak boleh terbang, berlarilah. Jika anda tidak boleh berlari, berjalanlah. Jika anda tidak boleh berjalan, merangkaklah, tetapi walau apa pun yang berlaku, teruskanlah bergerak”
(Kata-kata daripada Dr. Martin Luther King, Jr.)
Oleh: Nurul Najihah Binti Ismail (Timbalan Presiden II, Kelab Perkim PAUIAM PJ)
1 comment:
assalamualaikum.
boleh saya dptkan kontek no. penghulu kg. ustaz musa? atau apa2 no. yg boleh dihubungi utk aktivti kemasyarakatan dsb.
harap hantar ke emel saya tiniejaafar@yahoo.com
terima kasih banyak2 :)
Post a Comment