“Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup)” (Ali Imran : 156)
Baru-baru ini Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa cawangan Petaling Jaya (PAUIAPJ) mengadakan Program Jalinan Kasih 6 di Kampung Orang Asli, Lubuk Legong, Baling, Kedah yang disertai seramai 30 orang ahlinya pada 20 Mac 2011 lalu.
Program itu mendapat kerjasama daripada Perkim Kebangsaan.
Menurut Pengelola Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu), Suariza Hidayah Muhammad, program itu diadakan adalah untuk mengambil inisiatif dalam membantu penduduk kampung bagi memantapkan ilmu agama Islam dan akidah mereka selain ingin mengenali secara lebih dekat budaya serta cara hidup orang asli.
Katanya, Perkim menggunakan khidmat Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai mediator untuk menjalinkan hubungan akrab dengan segenap lapisan masyarakat dalam menyebarkan dakwah Islamiah secara idealogi berinteraktif dan berkarisma serta menjadikan IPT sebagai penggerak dakwah untuk memberi sokongan padu kepada Institusi Islam di Malaysia.
“Program ini juga bertujuan untuk memotivasikan dan berdakwah kepada mereka di mana segelintir penduduk kampung mempunyai masalah sosial yang serius seperti minum arak, ponteng sekolah, hidu gam dan penyalahgunaan dadah,” kata Suariza.
Katanya lagi penduduk di situ berasal dari suku kaum Kensiu rumpun bangsa Semang-Negrito yang merupakan satu-satunya populasi penduduk orang asli kaum Negrito yang terkecil dan tertua di Semenanjung Malaysia.
“Mereka juga mempunyai pertalian keluarga di Kampung Rai Yala Selatan Thailand serta bilangan penduduk kampung adalah 270 orang dan terdiri dari 70 buah keluarga, manakala 90 peratus merupakan penganut agama Islam dan selebihnya masih berpegang dengan agama asal iaitu animisme,” kata Suariza.
Suariza yang juga Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal sosial berkata, kaum Kensiu sukar untuk ditentukan sifat-sifat fizikalnya kerana di kalangan mereka terdapat empat sub kumpulan Kensiu yang mereka kenali sebagai Mos, Nakil (atau Dalem), Hetot dan Tanjen.
“Purata penduduk kampung itu mempunyai sifat fizikal seperti rambut yang kerinting halus, berbadan gelap, dan rendah setinggi 5 kaki ke bawah, hidung lebar mata bulat mirip orang Afrika Timur dan kebanyakan mereka adalah seperti orang Asli di Papua New Guinea,” jelas Suariza.
Penduduk kampung menjalankan aktiviti pertanian seperti getah dan mengusahakan tanaman ubi, padi, pisang dan jagung di tanah sendiri serta terdapat segilintir di antara mereka mencari sumber pendapatan di luar kampung.
Selain itu, penduduk kampung ini lebih gemar mencari hasil hutan seperti rotan, akar kayu, buluh, kayu depu, dan binatang seperti kura-kura, labi-labi, tupai, monyet, kera dan lotong dan hasil pencarian ini dijualkan kepada masyarakat Cina sebagai pendapatan sampingan.
Kemudahan di kampung itu dilengkapi dengan surau, dewan serbaguna, tabika yang diusahakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan penempatan mereka juga dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air bagi kemudahan penggunaan harian mereka.
Selain itu, mahasiswa mengadakan ziarah dari rumah ke rumah dan memberi hamper berbentuk makanan kepada setiap keluarga untuk mewujudkan sifat ramah mesra bersama mereka serta menjemput mereka bersama-sama menyertai setiap aktiviti yang diadakan.
Sifat pemalu dan rendah diri menjadikan mereka amat sukar untuk mendekati mahasiswa sekiranya tidak dijemput dan berkenal-kenalan terlebih dahulu.
Aktiviti ziarah itu memberi kesan positif kerana penduduk kampung bersama-sama menyertai aktiviti yang dianjurkan seperti makan bersama-sama dan mengambil makanan yang disediakan untuk dibawa pulang ke rumah.
Melihat program itu tidak mendatangkan bahaya dan kemudaratan, penduduk kampung merestui anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti fardu ain, motivasi diri, solat berjemaah serta mendengar kisah sejarah Islam dan Nabi-nabi.
Keperibadian mulia dan kecantikan akhlak yang ditonjolkan oleh mahasiswa menyebabkan anak-anak penduduk kampung hilang rasa malu dan mudah mesra bersama mereka kerana ikatan kasih sayang perlu dibina atas dasar dakwah Islamiah.
Keadaan ini menjadikan aktiviti sukaneka, gotong-royong membersih kawasan, memasak, motivasi kepada remaja bermasalah serta tayangan gambar mendapat sambutan dari penduduk kampung.
Melalui kemesraan ini digunakan untuk menyampaikan dakwah Islamiah dengan memberi tunjuk ajar serta bimbingan kepada penduduk kampung secara langsung atau tidak langsung.
Mahasiswa menjadi contoh ikutan dan idola kepada remaja serta kanak-kanak di kampung itu agar mereka dapat bersama-sama menjejakkan kaki di peringkat universiti.
Para mahasiswa perlu menjaga hubungan baik dan berterusan dengan keluarga angkat masing-masing serta hubungan yang dijalinkan tidak putus walaupun telah selesai program.
Jelas Suariza lagi, mahasiswa haruslah membuat program susulan bagi memastikan penduduk kampung berhijrah kepada cara hidup yang lebih baik sama ada dari sudut ekonomi, pendidikan dan cara pemikiran mengikut perspektif Islam.
“Paling utama ialah perlu dipastikan penduduk kampung kekal dan beriman dengan akidah Islam seterusnya mereka boleh menjadi agen untuk memantapkan akidah dikalangan mereka sendiri,” jelas Suariza.
Selain itu, mahasiswa juga turut mengambil kesempatan beramah mesra dalam sesi perkongsian Institut Pengajian Tinggi (IPT) bersama murid-murid sekolah sewaktu lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Siong, Baling, Kedah.
Malam penutup merupakan malam terakhir di mana diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka acara bola sepak, mencari gula-gula dalam tepung, bawa bola ping pong dalam sudu, sumpit belon, tarik tali, belon air, junjung bola dan tarik guni.
Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan merangkap Pegawai Sukan di Jabatan Pengurusan Cawangan Latihan dan Sukan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL) , Hj. Md. Nor Hashim Mohamed.
APA KATA MEREKA
Anita Ibrahim, 14 : Saya sangat seronok dengan sambutan dan aktiviti yang diadakan oleh Kelab Perkim PAUIAPJ dan berharap agar program seperti ini akan diadakan pada setiap tahun dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik khususnya kepada remaja dan kanak-kanak kampung ini.
Salmah Pucuk, 58 : Beliau bersyukur dan berterima kasih kepada mahasiswa sudi datang ke kampungnya dan mengharapkan agar program yang akan diadakan selepas ini lebih lama agar dapat meningkatkan tahap kefahaman dalam mempelajari agama Islam. Walaupun sekejap ianya memberi kesan positif kepada saya dan beliau berasa sedih apabila mahasiswa pulang meninggalkan kampung halamannya.
Muhammad Marzuqi Rameli, 20, Penyelaras Program : Alhamdulillah, selain program seperti ini, kami selalu membuat program susulan ke perkampungan orang asli seperti Kampung Pantos, Gahai, Trisu dan sebagainya dengan menggunakan kaedah 3S iaitu senyum, salam dan sapa serta menggunakan pendekatan sayugia iaitu corak dakwah yang berkesan kerana lebih mudah mendekati masyarakat kampung. Kelab Perkim PAUIAPJ haruslah memperbanyakkan slot bimbingan dalam kumpulan untuk pelapis generasi mereka dengan tujuan mengajar mereka dengan lebih terperinci mengenai kesempurnaan solat, wuduk, akhlak, sahsiah, jatidiri dan sebagainya bagi menaiktarafkan cara hidup mengikut syariat Islam.
Siti Zaleha Mustofa @ Mohd. Zain, 19 : Saya berasa gembira kerana terdapat nilai-nilai murni yang wujud sepanjang program iaitu semangat bekerjasama, perpaduan, tolong menolong dan permuafakatan antara mahasiswa dan penduduk kampung. Lebih terserlah lagi kemesraan yang mereka tonjolkan pada program sukaneka dan motivasi.
Mahasiswa berhibur bersama kanak-kanak orang asli.
Kanak-kanak kampung di ajar mengambil wuduk dengan sempurna.
Gotong-royong membersihkan kampung halaman bersama penduduk orang asli.
Mahasiswa ziarah penduduk kampung sambil menghantarkan makanan.
Muhammad Marzuqi Rameli selaku Penyelaras Program beramah mesra bersama kanak-kanak kampung.
Antara penduduk kampung yang menyertai sukaneka acara baling belon air.
Sukaneka acara tarik guni yang dimeriahkan oleh kanak-kanak kampung.
Pertandingan menyumpit merupakan budaya tradisi masyarakat orang asli.
Mahasiswi ziarah sambil menyampaikan hamper berbentuk makanan kepada penduduk kampung.
Mahasiswa ziarah dan menyampaikan bungkusan berbentuk makanan kepada antara 70 penduduk kampung.
Penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka.
Perkongsian hati bersama kanak-kanak kampung.
No comments:
Post a Comment