Astronomi lampau seperti Galileo Galilei, Sir Isaac Newton dan Johannes Kepler mengakui bahawa penciptaan alam semesta sebenarnya telah dijadikan Allah melalui hasil kajian dan pemerhatian mereka sendiri.
Penemuan paling menakjubkan dalam sejarah astronomi ini telah dilakukan oleh Edwin Hubble pada tahun 1929. Setelah letupan tersebut berlaku, didapati semua benda di alam semesta bergerak menjauhi masing-masing. Kesimpulannya, didapati alam semesta ini semakin mengembang.
Inilah bukti kekuasaan Allah SWT yang perlu difikirkan oleh manusia agar mensyukuri nikmat yang telah diberikan-Nya kepada seluruh makhluk. Manusia yang sengaja menolak kebenaran yang telah ditunjukkan Allah SWT akan diazab dengan dahsyatnya di dalam neraka. Amaran ini amat bertepatan dengan ayat di dalam Al-Quran :
“Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir itu dari azab neraka.” (Surah As-Shod: ayat 27)
Oleh yang demikian, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Masjid Negara menganjurkan Program Kembara Menghayati Ciptaan Allah pada 27 Mac 2011 lalu bertempat di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.
Menurut Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah, program itu diadakan untuk melahirkan rasa kesyukuran dalam setiap diri peserta dan urus setia terhadap ciptaan Allah SWT di kawasan tersebut di samping mengeratkan ukhwah dan silaturrahim di kalangan peserta agar berkenal-kenalan dengan rakan baru.
“Selain itu, melalui program itu mencorakkan konsep ‘Islam Itu Persaudaraan’ dengan melibatkan peserta daripada pelbagai kaum dan negara. Pertandingan ini berkonsepkan pertandingan penjelajahan ataupun explorace,” jelas Farhan.
“Seramai 350 peserta mendaftar untuk menyertai program itu, mereka terdiri daripada saudara Muslim tempatan dan luar negara, pelajar Asrama Darul Falah Perkim (ASDAF), Kelab Perkim Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Petaling Jaya (PAUIAPJ), kakitangan pertubuhan-pertubuhan dan masyarakat awam, ulas Farhan.
Pertandingan ini dimulai dengan sesi pendaftaran di ruang legar pejabat Islamic Outreach ABIM dan Masjid Negara.
Beliau yang juga Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim berkata, syarat pertandingan yang dikenakan kepada peserta ialah setiap kumpulan perlu diwakili seramai lima orang ahli sahaja. Terdapat 10 perhentian (check point) yang perlu dilalui peserta untuk menjawab soalan yang disediakan.
Katanya lagi, peserta diberikan sehelai baju secara percuma tajaan Islamic Outreach ABIM untuk dipakai sepanjang pertandingan dan mereka juga diberi sarapan pagi sebagai alas perut agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini, kerana pertandingan ini memerlukan kekuatan tenaga fizikal dan mental untuk menjelajah ke semua perhentian.
Setelah itu, peserta diberi taklimat oleh Latif Tozan, selaku Penyelaras Anjuran Bersama dari Islamic Outreach ABIM agar mereka memahami setiap syarat dan tindakan yang perlu dilakukan serta peserta dan urus setia kemudiannya bersama-sama merakamkan kenangan sebelum pertandingan dimulakan.
Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan, Tuan Haji Abdul Hanif Harun sempat memberikan ucapan selepas sesi bergambar sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang terlibat.
Selain itu, beliau turut melahirkan rasa bersyukur melalui kerjasama yang dijalankan antara Perkim Kebangsaan, Islamic Outreach ABIM, Masjid Negara dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak bagi menjayakan program itu dan ianya diadakan untuk manfaat semua pihak semata-mata dalam mencari keredhaan Allah SWT.
Sebelum pertandingan dimulakan, Ustaz Azhar Tuarno selaku Imam Masjid Negara membacakan doa selamat bagi memohon pertolongan daripada Allah SWT agar setiap perjalanan program ini dirahmati dan dilindungi daripada kejadian yang tidak diingini.
Peserta dilepaskan mengikut satu per satu kumpulan bagi selang beberapa minit. Pelepasan kumpulan ini dilakukan oleh Haji Abdul Hanif Harun bersama Ustaz Azhar Tuarno serta beberapa kakitangan yang lain.
Di setiap perhentian, peserta dikehendaki menjawab soalan yang diberikan oleh penjaga perhentian yang berkaitan dengan Islam seperti solat, wudhu’, rukun iman dan Islam, hikmah penciptaan dan sebagainya.
Sambil peserta menjawab soalan di setiap perhentian, mereka turut menikmati keindahan alam di Taman Tasik Perdana. Ada diantara mereka berkesempatan mengambil gambar di kawasan yang cantik dan menarik serta keindahan pemandangan di Taman Tasik Perdana tidak dapat dipertikai di tengah-tengah suasana bandar.
Melalui kawasan ini secara tidak langsung menggambarkan kehebatan Maha Pencipta yang sebenar. Keunikan hutan hujan tropika di situ juga memberi satu sifat rendah diri selaku kemampuan manusia sebagai hamba-Nya.
Akhlak mulia ini membawa peserta agar lebih mensyukuri dan menghayati ciptaan Allah SWT agar tidak disia-siakan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya” (Riwayat Al-Tirmizi).
Setelah tiba ke garisan penamat, para peserta diberikan masa untuk berehat sementara menunggu ketibaan kumpulan yang lain. Setelah semua peserta berkumpul, Latif Tozan memulakan permainan kuiz Islam. Kuiz ini menyentuh aspek asas-asas dan fardhu ain mengenai Islam.
Soalan diberikan mengikut kategori golongan kanak-kanak, dewasa dan umum serta ianya amat menarik memandangkan hampir semua peserta begitu bersemangat tanpa merasa segan silu untuk menjawab soalan yang diajukan dan setiap peserta yang berjaya menjawab soalan diberikan hadiah.
Majlis diserikan lagi dengan acara penyampaian hadiah saguhati dan pemenang Kembara Menghayati Ciptaan Allah kepada 22 kumpulan pemenang hadiah saguhati, pemenang tempat ketiga, kedua dan pertama yang disampaikan oleh Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Normah Sulaiman selaku Naib Pengerusi Islamic Outreach ABIM.
Peserta dijamu makan tengahari dan menunaikan solat Zohor berjemaah di Masjid Negara selepas tamatnya program.
APA KATA MEREKA
Nor Amalin Kee Abdullah, 23 : Saya berasa amat gembira dan dapat belajar melalui soalan yang diajukan walaupun baru memeluk Islam pada tahun lalu. Selain itu, saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru dan berkongsi pengalaman memeluk Islam. Harapan saya ialah supaya soalan yang disediakan dapat dipermudahkan sedikit dan perlu diadakan pelbagai bahasa agar dapat dijawab oleh saudara Muslim lain yang menyertainya.
Tina Angah, 15, dari Asrama Darul Falah (ASDAF) Perkim menyifatkan program ini bermanfaat dalam mengeratkan hubungan sesama saudara Islam. Beliau yang berasal dari Kampung Orang Asli Balar, Gua Musang, Kelantan mengharapkan Perkim agar program seumpama diadakan lagi supaya dapat menarik minat masyarakat Islam, khususnya saudara Muslim agar mengisi masa yang terluang dengan aktiviti berfaedah serta dapat melaksanakan di perkampungannya agar ianya lebih terkenal secara meluas.
Mohd. Akmal Aizat Umar, 19, mahasiswa Jurusan Kejuruteraan dari Kelab Perkim PAUIAPJ berkata, program ini membuatkan beliau teruja kerana ia merupakan pertama kali beliau menyertai program Perkim setelah menjadi ahli serta banyak input yang diperoleh dalam pertandingan ini. Soalan yang diberikan juga adalah bertepatan dengan saudara Muslim dan keyakinan menjawab bergantung kepada sejauh manakah ilmu yang telah dipelajari sepanjang kehidupan peserta. Pengalaman yang diperoleh juga tidak akan disia-siakan memandangkan ia boleh diaplikasikan untuk aktiviti kelab Perkim kelak.
Pengarah Dakwah, Abdul Hanif Harun (pegang pembesar suara) menyampaikan ucapan aluan kepada peserta.
Abdul Hanif (kanan) bersama-sama wakil ABIM mengibarkan bendera tanda acara bermula.
Peserta menjawab soalan yang diberikan.
Antara kumpulan yang berjaya tiba di perhentian 7 di Taman Herba.
Keindahan pemandangan laluan Taman Tasik Perdana yang cantik dan menarik.
Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah (kanan) menyampaikan hadiah kepada Johan Kembara Menghayati Ciptaan Allah.
Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah (kanan) menyampaikan hadiah kepada Johan Kembara Menghayati Ciptaan Allah.
No comments:
Post a Comment