“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”
(Al-Hujurat : 13)
Adalah penting bagi menjaga kebajikan dan mengambil berat sesama saudara Islam. Hubungan yang erat antara sesama Muslim mampu melahirkan umat Islam yang hebat dan sihat terutama dari segi rohani dan akal. Agar nanti agama Islam mampu berdiri gah di mata dunia. Bersabda Rasulullah SAW, “Tidak sempurna iman seseorang antara kamu jika dia tidak menyayangi saudaranya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri.”
Sehubungan dengan itu, pada 30 Julai hingga 1 Ogos 2010 yang lalu, Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Petaling Jaya dengan kerjasama PERKIM Kebangsaan telah mengadakan program ziarah ke Kampung Tanjung Gahai dan Kampung Dusun Pak Senam, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur. Program ziarah susulan ini disertai oleh 3 orang mahasiswa UIAM dan diselaras oleh Haji Mohd Nor Hashim Mohamed.
Peserta bertolak dari UIAM tepat jam 3 petang dan selamat sampai di Kampung Tanjung Gahai pada jam 10 malam. Kami disambut baik oleh tuan rumah tempat kami menginap, Haji Mahmud bin Chik, bekas guru agama di Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai. Beliaulah yang selalu menerima dan menyambut kedatangan kami di sana dengan tangan terbuka. Selain menghulurkan bantuan tempat menginap, beliau dan keluarga juga banyak memberikan sokongan kepada kami untuk meneruskan aktiviti-aktiviti murni sebegini. Sokongan padu yang diberi oleh Haji Mahmud bin Chik dan keluarga menyemarakkan lagi semangat kami untuk meneruskan kerja-kerja sebegini. Selesai beramah mesra dan makan malam bersama-sama tuan rumah dan keluarga, kami diberi peluang untuk berehat setelah mengharungi perjalanan yang memakan masa hampir 6 jam itu.
Pada keesokan harinya, aktiviti diteruskan dengan sarapan pagi bersama-sama ahli keluarga tuan rumah. Kami juga sempat berhenti seketika di jeti Kampung Kuala Medang yang berhampiran dengan kampung tersebut. Selesai sarapan dan persiapan diri, kami dijemput menghadiri kenduri Cukur Jambul di salah sebuah rumah di Kampung Tanjung Gahai. Layanan baik kami terima dari pihak tuan rumah walaupun kami bukan orang tempatan.
Beginilah Islam, tidak kira tempatan atau asing, taraf pendidikan, jawatan dan harta kekayaan, Islam menyeru umatnya supaya menghormati dan menyayangi sesama Muslim. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Furqan yang bermaksud,
“Adapun hamba-hamba Allah Yang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati,”
(al-Furqan : 63)
Kerana sesungguhnya semua yang kita miliki adalah milik Allah dan pada sisi Allah lah tempat kembali yag sebaik-baiknya.
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
(Al-Imran : 14)
Usai solat Zohor, kami melawat Kampung Dusun Pak Senam. Kami sempat menemuramah dua orang penduduk kampung. Mereka ialah Encik Kamal dan isterinya, Puan Laila yang baru sahaja pulang dari memancing ikan haruan. Encik Kamal sekarang bekerja sebagai penoreh getah setelah menamatkan perkhidmatan sebagai tentera untuk menempung hidup keluarga yang besar. Puan Laila pula merupakan seorang surirumah sepenuh masa. Menginap di Kampung Dusun Pak Senam dari tahun 1993 hingga sekarang, mereka dianggap sebagai veteran kampung tersebut dan banyak maklumat yang mampu kami peroleh melalui temubual bersama-sama Encik Kamal dan Puan Laila.
Menurut Encik Kamal, Kampung Dusun Pak Senam didiami oleh 42 buah keluarga dan jumlah penduduk dianggarkan sebanyak lebih kurang 300 orang. Mereka terdiri dari penganut agama Islam (33.3%), penganut agama nenek moyang mereka (33.3%) dan penganut agama Kristian (33.3%).
Usaha-usaha dakwah yang lebih giat dan murni harus dilakukan supaya lebih ramai penduduk yang mendapat maklumat tentang kebenaran Islam dan menganut agama Allah ini. Bukan itu sahaja, lawatan susulan juga penting untuk memastikan penduduk yang telah menganut agama Islam mampu menerima ajaran Islam dengan keterbukaan serta menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka. Sesungguhnya manusia dijadikan sebagai khalifah di atas muka bumi Allah untuk menyebarkan agama Allah sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Baqarah yang bermaksud,
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu?” Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak engkau ketahui.”
(Al-Baqarah : 30)
Dari segi pendidikan pula, menurut Encik Kamal, hanya 2 buah keluarga di kampung tersebut yang benar-banar berjaya. Antara kejayaan yang dinyatakan oleh Encik Kamal ialah kejayaan salah seorang anak jiran Encik Kamal, Anita, yang telah melnjutkan pelajaran di Jepun dan sekarang sedang berkhidmat di sebuah syarikat swasta.
“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Kejayaan-kejayaan yang dikecapi oleh mereka patut kita jadikan contoh. Dalam kehidupan yang serba kekurangan jika dibandingkan dengan kita, mereka masih mampu melakar nama dalam bidang pendidikan. Oleh kerana kemewahan yang terlalu mempengaruhi hidup kita, kita telah tersalahgunakan kemudahan yang Allah beri pada kita. Kemewahan dan kesenangan yang melimpah ruah telah menutup pandangan kita daripada berjihad di jalan Allah sama ada jihad menyebarkan agama Allah mahupun jihad menuntut ilmu. Bagaimana mereka memanfaatkan segala kemudahan di jalan yang betul untuk meraih kejayaan patut kita jadikan pedoman.
Menurut Puan Laila, terdapat bantuan yang disalurkan kepada penduduk di situ. Memandangkan Puan Laila bukan orang asli, bantuan hanya diberi kepada Encik Kamal melalui kuota orang asli. Selain itu, perbelanjaan asas untuk anak-anak sekolah juga pernah disalurkan. Dari segi bantuan tenaga pengajar pula, terdapat sesi pengajaran ilmu agama 2 minggu sekali oleh ustazah dari Pejabat Kadi untuk kaum ibu.
Puan Laila juga menyatakan hasratnya supaya lebih ramai tenaga pengajar yang mampu turun padang menyampaikan ilmu kepada mereka dan menyedarkan kebanyakan penduduk tentang kepentingan ilmu. Hal ini kerana, ramai penduduk kampung itu yang masih tidak menyedari tentang kepentingan ilmu, baik ilmu duniawi mahupun ilmu ukhrawi. Sabda Rasulullah SAW, “Sampaikanlah ilmu walau satu ayat.” Selain itu, tenaga pengajar juga diperlukan untuk mengajar kaum ibu di situ tentang inisiatif-inisiatif mencari kewangan untuk membantu suami menyara keluarga selain membuat sumpit dan anyaman. Usaha ini penting untuk menuju ke arah kecemerlangan penduduk kampung tersebut. Contohnya sepertimana yang telah dilakukan di Johor iaitu Penjualan Barang-barang Terpakai oleh orang asli.
Menurut penyelaras program, Tuan Haji Mohd Nor Hashim Mohamed, PERKIM merupakan sebuah badan kebajikan yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja kebajikan dan menyebarkan dakwah, terutamanya kepada saudara-saudara baru Islam.
Dari segi ekonomi pula, rata-rata penduduk bekerja sendiri dengan berbakti kepada tanah. Melalui kerja-kerja pertanian yang dilakukan, mereka tidak terasa beban perbelanjaan kerana bahan makanan diperoleh hasil titik peluh sendiri kecuali beras yang tidak sesuai ditanam di kawasan tersebut.
Bertepatan dengan seruan kerajaan supaya rakyat menjadikan pertanian sebagai asas ekonomi harus kita sahut mulai sekarang. Jika kita perhatikan sekarang, sektor-sektor lain sudah tidak mampu menampung perbelanjaan negara. Mungkin sekarang kita belum mampu melihat situasi negara kita yang sebenar kerana kerajaan masih lagi memberi subsidi pada kebanyakan keperluan asas kita contohnya minyak, berpegang pada motto, “Rakyat diutamakan, negara didahulukan.” Namun, di sebalik ini semua, tiada siapa tahu nasib negara kita pada masa akan dating. Untuk mendapatkan hasil pertanian yang mampu menanggung perbelanjaan negara bukanlah sekejap, bahkan memakan masa yang agak lama. Kerana itulah, pihak kerajaan Malaysia giat mempromosikan bidang pertanian dan bioteknologi, bidang kajian untuk menghasilkan hasil pertanian yang lebih berkualiti, sebagai bidang utama dan sampingan yang patut kita ceburi agar nanti Malaysia masih mampu “Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah,” dengan negara-negara membangun yang lain pada masa akan datang.
Setelah hampir ke penghujung temubual, Puan Laila ada menyatakan hasratnya supaya aktiviti-aktiviti yang menarik boleh diadakan di kampung tersebut. Hal ini kerana, sehingga sekarang, tiada aktiviti yang dilakukan di kawasan tersebut. Setiap keluarga hanya melakukan aktiviti masing-masing tanpa mempedulikan jiran tetangga.
Setelah meninjau-ninjau kampung tersebut, terdapat beberapa kawasan yang boleh dijadikan pengkalan untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Mungkin pihak PERKIM mampu merancang dan mengadakan aktiviti di Kampung Dusun Pak Senam. Menggembirakan hati orang lain juga jalan dakwah yang disarankan oleh Rasulullah SAW.
Usai meninjau-ninjau Kampung Dusun Pak Senam, kami meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Sungai Ruil, Cameron Highland untuk melawat keluarga Encik Shariff. Anak-anak Encik Shariff merupakan bekas pelajar Asrama Darul Falah (ASDAF). Mereka yang sempat kami temui ialah saudari Linda Shariff dan saudara Nazri Shariff serta beberapa orang adik-adik mereka yang lain. Kami diberi layanan yang baik dan dihidangkan dengan makanan yang dimasak oleh mereka. Ukhwah yang terjalin antara keluarga Encik Shariff dengan penyeleras program melahirkan suasana yang meriah pada hari tersebut. Mereka berusaha semampu mungkin untuk membalas jasa Tuan Haji Mohd Nor Hashim yang telah menjaga mereka sepanjang mereka menetap di ASDAF. Begitulah resam hidup manusia, “Orang berbudi, kita merasa, orang memberi, kita merasa.”
Pada keesokan harinya, kami bertolak pulang ke UIAM pada jam 11 pagi sambil melawat tempat-tempat menarik di sekitar Cameron Highland untuk mengamati ciptaan Allah. Hampa yang mampu kami luahkan setelah melawat beberapa kawasan air terjun kerana kawasannya tidak terjaga seperti yang kami andaikan. Kawasan air terjun dicemari dengan sampah-sarap dan kemudahan-kemudahan yang disediakan telah musnah. Kami selamat sampai di UIAM pada jam 7 petang.
Mudah-mudahan Allah memberi kesempatan ruang dan waktu yang lain pada masa akan datang kepada kita semua untuk terus menjalankan tugas-tugas murni sebegini, menyampaikan agama Allah kepada mereka yang belum diberitahu.
No comments:
Post a Comment