Wednesday, October 13, 2010
Program di Perkampungan Orang Asli Lubuk Legung dan Rumah Anak Yatim Gemilang
“Hendaklah seseorang itu menolong saudaranya yang lain, baik yang zalim mahupun yang dizalimi. Kalau ia berbuat kezaliman hendaklah dicegah kerana begitulah cara memberi pertolongan kepadanya dan apabila dizalimi, maka bantulah dia.”(Muslim)
Alhamdulillah, pada 25-27 Jun yang lepas, sekali lagi kelab PERKIM UIA , Petaling Jaya telah menghantar sembilan orang sukarelawan untuk turun padang dalam misi menjejaki perkampungan orang-orang asli dan rumah anak-anak yatim di sekitar Baling, Kedah. Program yang diketuai oleh Tuan Haji Md. Nor Hashim yang merupakan Ahli Jawatankuasa kebajikan dan Hal Ehwal Sosial PERKIM Kebangsaan ini turut disertai oleh sorang wakil dari Kolej Kejururawatan Lake Town.
Berkumpul di UIA PJ pada pukul 12.00 tengahari dan selepas menyiapkan segala kelengkapan, rombongan telah bertolak kira-kira pukul 1.00 petang dengan menaiki 2 buah kereta. Rombongan singgah di Perak untuk mengambil seorang sukarelawan yang menetap di sana. Perjalanan yang ditempuh lancar dan tidak menghadapi sebarang masalah.
Rombongan telah selamat tiba di rumah salah seorang penduduk kampung, Tok Wan yang bemurah hati menumpangkan rumahnya untuk para rombongan bermalam. Rombongan disambut mesra oleh tuan rumah dan dihidangkan dengan nasi dan pelbagai jenis lauk sebagai makan malam. Ulam-ulaman seperti petai dan tempoyak juga dihidangkan. Rombongan juga diajak untuk melihat penduduk kampung mencandit ikan di kawasan sungai yang berhampiran selepas menolong tuan rumah membersihkan sisa makanan, mengemas dan menyapu sampah.
Pulang dari mencandit ikan, rombongan dihidangkan pula dengan buah durian yang sememangnya ditunggu-tunggu. Rombongan mula membersihkan diri dan bersiap untuk tidur apabila jam mula menunjukkan pukul 1 pagi.
Pada keesokan harinya, selepas mempersiapkan diri dan solat subuh, rombongan yang turut disertai oleh tuan rumah dan penduduk kampung bersarapan bersama-sama. Menu pada pagi ini ialah nasi lemak bungkus dan pelbagai jenis kuih- muih. Rombongan meneruskan misi menuju ke destinasi pertama iaitu ke perkampungan orang asli kira-kira pukul 9 pagi sambil ditemani oleh Pak Majid yang berperanan sebagai pemandu lawatan dan penunjuk arah kepada rombongan.
Lebih kurang 45 minit kemudian, rombongan tiba di Perkampungan Orang Asli Lubuk Legung. Rombongan mula memulakan tugas mewawancara seorang wakil penduduk di situ, Encik Razali bin Kulim, 30, mengenai cara dan gaya hidup masyarakat kampung di sini. Antara maklumat yang diperoleh oleh rombongan ialah perkampungan ini didiami oleh kira-kira seramai 260 orang asli yang ditadbir oleh seorang Tok Batin, Encik Rusman bin Isa, 40. Uniknya penduduk orang asli yang menetap di sini ialah mereka berasal daripada keturunan Negroto atau biasanya dipanggil Kensiu. Rombongan dimaklumkan bahawa kampung ini satu-satunya kampung yang terdiri daripada masyarakat orang asli yang berketurunan Kensiu di dalam Malaysia. Kampung ini juga mula bertapak pada tahun 1952 dan mempunyai keluasan kira-kira 2 ekar serta mempunyai kelengkapan yang cukup seperti bekalan air dan elektrik. 80% daripada penduduk di sini beragama Islam manakala yang selebihnya masih berpegang kepada kepercayaan nenek moyang mereka iaitu animisme.
Rata-rata penduduk di sini bekerja sebagai pekebun dan penoreh getah di mana sebahagian daripada mereka mengusahakan kebun milik sendiri. Selain itu, terdapat juga penduduk yang mahir dalam pembuatan ubat-ubatan tradisional, produk- produk kecantikan dan kraftangan seperti anyaman tikar, cincin dan gelang rotan. Di samping itu, terdapat juga penduduk yang mempunyai kemahiran keluar untuk mengambil upah membina rumah dan sebagainya. Pendapatan purata bagi setiap rumah dalam sebulan dianggarkan sebanyak RM900.
Ditanya mengenai pencapaian dalam pendidikan, Encik Razali berkata bahawa tahap pendidikan di kampung ini masih berada ditakuk yang kurang memuaskan. Hanya sebilangan remaja yang bersekolah di sekolah yang berhampiran iaitu SMK Siong. Bercakap mengenai sektor pendidikan ini, rombongan dimaklumkan bahawa bukan masalah kewangan yang membelenggu penduduk tetapi kurangnya kesedaran akan kepentingan ilmu oleh ibu bapa merupakan faktor utama yang mendorong kepada kurangnya minat anak- anak untuk bersekolah dan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sebelum ini tiada rekod yang membanggakan yang pernah dicapai oleh kampung ini kecuali pada tahun lepas, 2009, di mana seorang remaja telah berjaya menerima segulung Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Rombongan juga dimaklumkan bahawa seramai 20 orang anak yatim dari kampung ini telah dihantar ke sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan. Kos pembelajaran pelajar- pelajar ini telah dibiayai penuh oleh Jabatan Orang Asli.
Disamping itu, kampung ini juga tidak terlepas daripada masalah sosial seperti merokok dan minum arak. Namun, JAKIM telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan kelas agama selaras usaha untuk membanteras masalah-masalah ini.
“Arak adalah ibu segala maksiat dan ianya adalah maksiat yang paling mengaibkan.”Ibnu Majah
Setelah beberapa buah rumah diziarahi dan berpuas hati mendapatkan maklumat yang diperlukan, rombongan mula bergerak untuk meneruskan aktiviti seterusnya. Rombongan disambut ceria oleh anak-anak yatim di Rumah Gemilang, Kampung Bonggol Derdap, Sik. Rombongan berkesempatan untuk bermesra bersama-sama dengan anak-anak yatim tersebut dalam menjayakan program ‘Sejenak Bersama Yang Tersayang’ dengan lancar. Rombongan telah membuat group binding bersama anak-anak yatim disana untuk aktiviti sharing moment. Program ini turut disertai oleh keluarga salah seorang sukarelawan yang terlibat, Nurul Najihah Ismail yang turut meluangkan masa bersama anak-anak yatim tersebut. Rombongan dimaklumkan bahawa Rumah Gemilang ini diwujudkan pada tahun 2000 dibawah Pertubuhan Asuhan Daerah Sik (ADIK) dan menjaga kebajikan anak-anak yatim seramai 80 orang. Sebuah lagi rumah anak-anak yatim lelaki telah dibina di Kampung Bunga Chepir yang dikenali sebagai Rumah Gemilang Putera oleh dibawah pentadbiran yang sama. Sebelum rombongan beredar, sedikit sumbangan telah disampaikan kepada anak-anak yatim sebagai buah tangan dan penghargaan untuk mereka.
Setelah pulang dari Rumah Gemilang tersebut, rombongan sempat singgah di Madrasah Farabi yang juga merupakan rumah anak-anak yatim yang terletak berdekatan dengan Rumah Gemilang. Rombongan sempat beramah mesra dengan anak-anak yatim di madrasah tersebut sambil melawat asramanya. Namun, disebabkan kekangan yang tidak dapat dielakkan, rombongan tidak dapat berada lama di sana.
Setelah selesai segala urusan, rombongan bertolak semula ke rumah tempat bermalam bagi merehatkan diri masing-masing. Pada sebelah malamnya, penduduk kampung sekali lagi berbesar hati mempelawa rombongan untuk makan malam bersama-sama mereka. Rombongan dan penduduk kampung bekerjasama dan bantu- membantu untuk membakar lemang dan menyiapkan makan malam. Pada malam itu kami juga turut disajikan dengan menu baru iaitu lemang tepung yang sangat menyelerakan.
Setelah siap membersihkan sisa-sisa makanan dan mengemas alatan-alatan yang digunakan, kami sekali lagi bergerak untuk menziarahi rumah Pak Majid yang tidak jauh dari situ. Di sana, Pak Majid telah berkongsi pengalaman hidupnya selama dia tinggal di kampung berkenaan. Setelah kira-kira satu jam berada di situ, rombongan meminta diri untuk pulang memandangkan hari pun sudah semakin gelap. Kemudian, rombongan pulang ke rumah Tok Wan.
Pada pukul 9.30 keesokan harinya, setelah selesai bersarapan pagi, rombongan dibawa melawat dusun durian dan rambutan milik Pak Cik Man. Mereka berpeluang untuk mengutip durian dan mengait rambutan sendiri. Rombongan juga diberi peluang untuk merasa durian yang masih baru gugur. Hanya beralaskan daun pisang, mereka duduk bersila sambil menikmati keenakan durian yang sangat lazat. Sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur, rombongan telah dibekalkan dengan pelbagai jenis buah antaranya durian, rambutan, dokong, betik, cempedak dan sebagainya. Selain itu, sedikit cenderahati diagihkan kepada penduduk kampung berhampiran. Lemang yang dibakar oleh rombongan juga diagihkan kepada penduduk berhampiran. Kira-kira pada pukul 12tengahari, rombongan bertolak pulang. Alhamdulillah rombongan selamat tiba di Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 petang.
“Kita wujud di dunia ini bukan hanya untuk diri kita, tetapi untuk membantu sesama sendiri” ~Jeff Warner~
"kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain.)"
(Az-Zukhuf 43: 32)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
salam, Program ni paling best.
Banyak sangat input dapat selain dapat kenal suka kaum orang asli yang jarang sangat2 ditemui di Malaysia, Negreto namanya.Mungkin istilah tu diambil sempena org Negro kat Afrika kut sebab rupa yg sama barangkali. Selain tu, dapat Pengalaman 1st time bakar lemang banyak2, penat2. kutip durian sendiri.candit ikan, kat trg candat sotong..hurm, very good experince...selain tu dpt pegi rumah anak yatim. Nak pegi lagi rasa!
Post a Comment