Friday, August 3, 2012

‘Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anugerah Sri Cemerlang Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu)'




Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (ali-Imran: 103)

Untuk mengeratkan lagi ukhuwah sesama ahli Kelab Perkim dan menghargai sumbangan dan komitmen mahasiswa dalam menjayakan usaha-usaha dakwah, Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Universiti telah menganjurkan  ‘Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anugerah Sri Cemerlang Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu)' bertempat di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda, Kuala Lumpur pada 27 Julai 2012.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mahathir dalam ucapannya berkata, Perkim sudah berkembang maju sejak ianya ditubuhkan pada era Tunku Abdul Rahman lagi.

Perkim akan diperkembangkan lagi dengan bantuan golongan muda melalui mahasiswa universiti untuk memberikan sumbangan, khidmat dan keprihatinan mereka kepada masyarakat sekeliling. Mahasiswa juga merupakan pelapis bangsa dan negara bagi menggantikan golongan yang sudah berumur.
Beliau menyeru mahasiswa supaya menyertai Perkim agar mencapai hasrat dan harapan serta mewarisi dakwah, kebajikan dan pendidikan Perkim.

Jelas Dr Mahathir, umat Islam haruslah sentiasa bersyukur kerana dilahirkan di dalam agama Islam dan mengamalkan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta mengikut mazhab Imam Syafie.
"Umat Islam Malaysia tidak perlulah berbalah kerana mereka merupakan penganut satu agama, satu mazhab dan satu imam," katanya.

Jelas Dr. Mahathir lagi, umat Islam perlu mengambil al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan agar tidak sesat daripada jalan kebenaran.

Anugerah Sri Cemerlang kategori Kelab Terbaik Keseluruhan diberikan kepada Kelab Perkim KUIS melalui wakilnya, Muhammad Shafiq Abdul Geni di mana anugerah tersebut mengiktirafkan kelab Perkim paling aktif menjalankan program dan aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan di dalam dan luar bandar sepanjang tahun 2012. Beliau menerima piala iringan dan cek bernilai RM3000.

Kategori Kepimpinan Cemerlang pula diberikan kepada Kelab Perkim UUM melalui Mohammad Hafis Shafiq Mohamad Sopian merangkumi kerja-kerja dakwah dan kebajikan yang melibatkan perpaduan, kerjasama, kedamaian serta persefahaman. Beliau menerima piala iringan dan cek bernilai RM2500.

Kategori Projek Terbaik diterima oleh ‘Ismat Arif Abu Hassan selaku Yang Dipertua Sekretariat Perkim UIAM cawangan Gombak, ia yang mendapat pengiktirafan sebagai kelab Perkim yang paling aktif dalam aktiviti-aktiviti program dakwah dan kebajikan Perkim yang berkesan kepada masyarakat berbilang kaum. Beliau menerima piala iringan dan cek bernilai RM2500.

Kategori Kelab Perkim Harapan pula disandang oleh Kelab Perkim UniKL MICET melalui Yang Dipertuanya, Mohd Amin Ariffin kerana mendapat pengiktirafan sebagai kelab Perkim baru yang giat aktif dalam aktiviti dakwah seperti seminar dan kemasyarakatan. Beliau juga menerima piala iringan dan cek bernilai RM2500.



 Bergambar dengan Yang Dipertua Perkim,Tun Dr.Mahathir Mohamad.


Bersama Perkim UIA Gombak yang diiktiraf kelab Perkim paling aktif.



Kepimpinan Perkim CFS IIUM yang hadir.




































Sunday, July 29, 2012

10 Gangguan syaitan ketika solat


1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram
Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.

Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.

Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.

2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat.
Sahabat Rasullullah S.A.W, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasullullah  S.A.W dan mengadu, “Wahai Rasullullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasullullah  S.A.W menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib."

“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah S.W.T gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).

3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan
 Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasullullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan
 Abu Hurairah berkata, “Rasullullah bersabda yang bermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.

Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.

 Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya, "Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!" Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat
Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.

 Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasullullah S.A.W ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasullullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.

 Rasullullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.

Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

6) Melakukan gerakan yang tidak perlu
Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.

 “Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasullullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasullullah  S.A.W,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat
 Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasullullah hukum melihat ketika solat”. Rasullullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

8) Menguap dan mengantuk
 Rasullullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).

 Dalam riwayat lain Rasullullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

9) Bersin berulang kali ketika solat
Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).

Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”

10) Terasa ingin buang angin atau buang air
 Rasullullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).

 Firman Allah S.W.T Bermaksud: “Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya” [Surah Al-Mukminun : ayat 1-2].

Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.Semoga ia beroleh manfaat dan sentiasa mempertingkatkan mutu ibadah kepada Allah S.W.T.