Monday, July 26, 2010

MMI | Hibrid Cinta Bersama Anak-anak Yatim Flat Sri Sabah


Pada 16 Julai hingga 17 Julai 2010 yang lalu,telah berlansungnya satu lagi program bersempena Minggu Mahasiswa Islam iaitu program lawatan ke rumah anak yatim Flat Sri Sabah.Pada program kali ini Biro Perhubungan dan Kebajikan (PnK,memainkan peranan untuk menjayakan Hibrid Cinta ini dengan jayanya.Program ini dinamakan 'Hibrid Cinta' yang bermaksud cantuman dan jalinan kasih sayang diantara pelajar dan anak-anak yatim. Seramai 32 orang pelajar dari biro P&K dan D&P telah dipilih untuk menjadi fasilitator bagi menjayakan program ini. Program ini telah diketuai oleh ketua biro P&K iaitu Azuan bin Othman.

Program ini telah disertai oleh anak-anak yatim dari Flat Sri Sabah dan juga Rumah Jagaan Nasuha dari Gombak. Secara purata, anak-anak yang terlibat dengan program ini berumur dalam lingkungan 7 hingga 17 tahun. Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan PERKIM kepada masyarakat setempat dan juga ingin mengeratkan silaturahim antara pelajar UIA dan anak-anak yatim. Selain itu program ini menjadi salah satu cara atau pun wasilah PERKIM untuk menjaga kebajikan anak-anak yatim.




Tepat jam 5.30 petang, semua fasilitator telah berkumpul di depan Mahallah Fatimah dan bertolak ke Flat Sri Sabah. Setibanya di sana, para fasilitator telah disambut oleh En. Johari, penjaga anak-anak yatim di Flat Sri Sabah. Selepas itu, mereka telah dijamu dengan hidangan yang enak untuk makan malam. Selesai makan malam, semua fasilitator dan anak-anak yatim seramai 54 orang telah berkumpul di masjid untuk menunaikan solat Maghrib dan Isya'. Bagi mengisi waktu antara Maghrib dan Isya', satu kuliah Maghrib telah disampaikan oleh saudara Ikhsan Adha.

Program pada malam itu dimulakan dengan pembahagian kumpulan. Kesemua anak-anak yatim telah dibahagikan kepada 7 kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada 8 orang dan 2 orang fasilitator telah ditempatkan didalam setiap kumpulan. Bagi latihan dalam kumpulan (LDK) yang pertama, mereka ditugaskan untuk mengadakan sesi taaruf, mencipta logo kumpulan dan sorakan semangat bagi kumpulan masing-masing. Tujuan utama aktiviti ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan sesama ahli kumpulan dan menanam semangat berpasukan. Sebaik sahaja jam menunjukkan 11.30 malam, semua peserta dibenarkan minum malam dan bersiap untuk tidur.

Seawal jam 4.30 pagi keesokan harinya, semua peserta telah mula bersiap untuk qiyammulaill. Solat Subuh pada pagi itu telah diimamkan oleh saudara Mohammad Syafiq dan kuliah Subuh pula telah disampaikan oleh saudara Abdul Hayyie. Seusai solat, semua peserta bergerak ke padang untuk aktiviti senamrobik. Aktiviti ini telah diketuai oleh Amirul Mukmin. Alhamdulillah, semua peserta kelihatan bersemangat untuk melakukan aktiviti yang seterusnya. Qiyammulaill yang telah dilakukan pada awal pagi seperti menyuntik semangat dalam diri peserta.



Selesai sarapan, aktiviti diteruskan dengan LDK yang kedua iaitu explorace. Terdapat 8 perhentian yang perlu dilalui oleh semua peserta iaitu tayammum, indahnya solat, telefon buruk,masjid, laguku, puzzle, musang berjanggut dan belon air. Aktiviti ini dapat memupuk semangat kerjasama dan nilai-nilai islamik yang diperolehi dari setiap perhentian. Walaupun hampir kesemua peserta bermandi tepung, keseronokan tetap dapat dirasai.

Apabila jam menghampiri 12.00 tengahari, semua peserta dibenarkan untuk membersihkan diri, makan tengahari dan menunaikan solat zuhur. Tepat jam 2.00 petang, semua peserta kembali ke dewan untuk aktiviti seterusnya iaitu persembahan pentas. Setiap kumpulan telah ditugaskan untuk mempersembahkan satu persembahan bagi aktiviti ini. Antara persembahan yang telah dilakukan ialah nasyid, lakonan dan pantomin. Aktiviti ini telah dipengerusikan oleh Abdul Hayyie dan Muhammad Aiman. Setiap kumpulan telah berjaya mempersembahkan satu persembahan yang mantap dan menghiburkan. Melalui aktiviti ini, para peserta dapat mencungkil bakat terpendam dalam diri dan dapat berhibur setelah berpenat lelah dalam aktiviti sebelum ini.

Aktiviti diteruskan dengan acara penyampaian hadiah. Setiap kumpulan telah mendapat satu hamper mengikut kategori masing-masing. Bagi aktiviti explorace, hadiah disediakan untuk tempat pertama hingga tempat ketiga. Satu hadiah istimewa telah disediakan untuk persembahan terbaik. Selain itu, sebanyak 12 hadiah telah disampaikan melalui cabutan bertuah. Bagi menghargai kesudian warga Flat Sri Sabah kerana telah sudi menyediakan tempat untuk menjayakan program ini, satu tanda penghargaan telah disediakan untuk mereka. Hadiah
tersebut telah disampaikan oleh saudara Azuan bin Othman.

Acara penutup bagi program ini adalah sesi perkongsian antara peserta dan fasilitator.Tujuannya adalah supaya para peserta dapat meluahkan pandangan dan pendapat masing-masing berkenaan program ini. Kemudian, sesi fotografi telah diadakan sebagai kenang-kenangan. Tepat jam 5.30 petang, semua fasilitator bergerak pulang ke uia.





Secara keseluruhannya, program ini telah berjalan dengan lancar dan dapat mencapai objektif yang disasarkan. Semua peserta telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan para fasilitator juga telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan program ini.


oleh:Nurul Nabilah Binti Bahari
(Ahli Biro Dokumentasi dan Penerbitan)

No comments: