Thursday, November 4, 2010

Kunjungan Sayang ke Rumah Titian Kaseh


Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, jangan Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (Al-Baqarah: 284-286)
Bismillahirahmanirahim....Alhamdulillah...pada 30 Oktober 2010 yang lalu, seramai lapan orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar UIA PJ telah mengadakan ziarah serta kunjungan sayang ke satu rumah kebajikan yang menempatkan anak-anak yatim, orang kurang upaya dan juga ibu tunggal. Rumah kebajikan yang dimaksudkan ialah Rumah Titian Kaseh (RTK) yang terletak di Jalan Maran, Titiwangsa. Penghuni RTK ini sebenarnya diasingkan antara rumah lelaki dan perempuan. Jarak diantara kedua-dua rumah ini tidaklah begitu jauh.
Kesemua pelajar UIA ini bertolak dari UIA kira-kira pukul 10 pagi. Mereka ke sana dengan menaiki kenderaan awam. Mereka tiba disana kira-kira pukul 11.30 tengah hari. Setibanya mereka di sana, mereka telah disambut baik oleh Kak Lin yang merupakan salah seorang orang yang bertanggungjawab menguruskan rumah kebajikan ini selain daripada Pengurus RTK iaitu Puan Syarifah atau lebih selesa disapa dengan panggilan Mak Pah. Pertama sekali mereka diberi taklimat ringkas oleh Kak Lin. Beliau telah menerangkan sedikit sebanyak mengenai Rumah Titian Kaseh serta berkongsi sedikit pengalaman beliau selama bekerja disini.
kak lin yang mesra
adik2 tonton tv
Kemudian, mereka diberi peluang untuk meramah mesra dan mendekati adik- adik yang tinggal di rumah ini. Ternyata kesemua adik-adik di rumah ini mudah untuk didekati, mereka sangat peramah dan menerima kunjungan daripada pelajar-pelajar UIA ini dengan hati yang terbuka. Jika dilihat dari raut wajah kesemua mereka, mereka tidak ada beza dengan kanak-kanak normal yang lain. Tetapi siapa yang tahu, terdapat sebahagian daripada mereka mempunyai derita dalaman yang tidak kelihatan secara lahiriah kerana terselindung disebalik keceriaan wajah mereka. Mereka masih kecil dan tidak mengerti apa-apa lagi, tetapi perlu menanggung derita yang sangat berat dan mungkin kita sendiri pun tidak mampu untuk menanggungnya. Contohnya, Abu, seorang kanak-kanak yang berusia 4 tahun telah diserahkan kepada Mak Pah sejak dia bayi lagi kerana ibunya telah meninggal dunia ayahnya pula telah dimasukkan ke penjara. Sejak kecil lagi, dia telah disahkan mengidap penyakit jantung berlubang. Selain itu, Amirul (3 tahun) dan Ayyie (10 bulan) ialah adik- beradik yang telah dihantar ke rumah kebajikan ini selepas ibu dan ayah mereka telah dimasukkan ke pusat pemulihan dadah. Malangnya, Ayyie disahkan oleh doktor telah dijangkiti HIV semasa dalam kandungan ibunya.
‘Allahumma adzhibil ba’sa robban naasi isyfi wa antasy syaafii laa syifaa’a illaa syifaa’uka syifaa’an laa yughaadiru saqamaa.’
(Ya Allah, Tuhan sekelian manusia! Jauhkanlah kesusahan, Engkaulah Penyembuh, tidak ada kesembuhan melainkan daripadaMu, kesembuhan yang tidak diikuti oleh kesakitan)
amirul yang agresif tapi baik
ayyie yang comel
Seorang lagi kanak-kanak malang, Tajul. Dia telah dihantar ke rumah kebajikan ini oleh seorang individu yang tidak dikenali. Sehingga sekarang, tiada siapa pun yang tahu, ibu dan ayah kandungnya. Mak Pah telah mengambilnya sebagai anak angkat.
tajul yang kuat merajuk
Dalam masa yang singkat ini, kesemua pelajar perempuan sedang asyik melayan kerenah adik- adik di sini. Mereka mengajar adik-adik mewarna, melukis serta membuat origami menggunakan kertas. Manakala pelajar lelaki pula sibuk bergotong- royong mengemas dan mengangkut barang-barang ke atas lori untuk dibawa pindah ke rumah yang baru. Alhamdulillah, ternyata masyarakat di negara kita masih lagi prihatin terhadap insan- insan yang memerlukan bantuan seperti adik- adik dan penghuni- penghuni di rumah ini. Terdapat satu kontena lebih berisi barang- barang sumbangan daripada orang ramai. Rumah baru mereka tidaklah sebesar rumah sekarang. Oleh sebab tuan empunya rumah mahukan rumah itu kembali, apakan daya, mereka perlu akur dengan keputusan yang telah dibuat, mereka perlu berpindah ke rumah lain. Rumah itu agak kecil dan tidak berapa selesa untuk didiami oleh 100 orang penghuni. Walaubagaimanapun mereka perlu berpuas hati untuk seketika sebelum mereka mendapat rumah yang betul-betul layak dan selesa untuk mereka....InsyaAllah bersabarlah....
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Al- Baqarah: 15)
“Kekadang Allah hilangkan matahari, Dia datangkan kita hujan, panah dan petir untuk seketika sebelum Dia kurniakan kita pelangi yang bewarna-warni yang sungguh indah”
Kemudian, kira-kira pada pukul 1.30, adik-adik ini dibawa ke rumah/ asrama perempuan. Kesemua pelajar-pelajar UIA juga turut mengikut mereka pulang ke asrama. Mereka semua menaiki van yang dipandu oleh salah seorang pembantu Mak Pah. Setibanya kami disana, kami berpeluang pula untuk berkenalan dengan ibu-ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) yang ditempatkan di rumah ini. Disini jugalah kami berkenalan dengan Kak Diana, yang berusia 24 tahun, dia seorang yang cacat dari segi mental dan fizikal. Kecatatan yang dialaminya ini bermula sejak dia kecil lagi. Hasil daripada perbualan antara mereka dan Kak Diana. Terdapat beberapa perkara yang dapat dikongsi dengannya. Contohnya, dia bertanyakan kepada mereka, belajar dimana? Seronok atau tidak dapat belajar di UIA? Masih ada mak dan ayah atau tidak? Setiap soalan yang dijawab pasti akan manjadikan dirinya sedih dan sehingga air matanya mengalir. Mereka juga berasa serba salah untuk menjawab setiap persoalannya. Pada permulaan perbualan, antara kata-kata yang diungkap olehnya untuk memperkenalkan diri ialah, ‘nama saya Nor Diana, umur 24 tahun, saya anak yatim piatu, tidak ada mak dan ayah, saya cacat, saya malu.’ Terdapat satu soalan yang telah membuat hati mereka tersentuh dan sukar untuk berkata-kata, ‘ mak dan ayah Yana dah meninggal, selepas meninggal mereka pergi ke mana ye?” Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana peritnya untuk menjawab soalan tersebut. Mereka semua tersentak dan hati mereka sangat tersentuh.
Firman Allah dalam hadis Qudsi yang bermaksud:
“Siapa yang tidak reda dengan qada’ dan qadarku, carilah Tuhan yang lain selain-Ku.”
(Riwayat Baihaqi)

taaruf dengan kak diyana
senyuman nenek yang dinanti (bukan yg disebelah ye)
Selepas itu, adik-adik diarahkan untuk solat zohor berjemaah oleh seorang penjaga yang ditugaskan untuk menjaga mereka. Selepas selesai solat,kesemua sukarelawan diminta untuk mengajar adik-adik mengaji Al-Quran dan Iqra’. Tidak dapat dinafikan, terdapat juga dari kalangan mereka yang mempunyai kemampuan untuk mengaji Al-Quran dengan baik. Semua ini berkat usaha para penjaga mereka yang menitikberatkan dan mengambil berat tentang hal-hal agama. Alhamdulillah. Selepas itu, para sukarelawan meluangkan masa bersama dengan adik-adik untuk bermain-main dan melayan kerenah mereka. Setiap daripada mereka mempunyai karakter yang berbeza. Ada yang suka bergaduh, menangis, merajuk, lari ke sana- sini dan macam- macam lagi.Gelagat mereka sangat mencuit hati. Sememangnya penat itu terasa, tetapi sikap lucu mereka ini dapat mengubat keletihan yang mula terpancar di setiap raut wajah kesemua sukarelawan. Sepertimana yang kita tahu, anak itu amanah Allah, kita perlu menjaga dan mendidik mereka dengan baik, mereka dilahirkan dalam keadaan yang suci, tidak kiralah lahir dari sumber haram atau halal, mereka tetap suci dan tidak ada dosa. " Anak ini dilahirkan seperti kain putih, terpulanglah kepada kita bagaimana hendak mencoraknya".
solat berjemaah
adam
ajar mengaji oleh ustaz dan ustazah
Khusyuk nyer
kongsi2 bagi makan
Apabila menjelang petang, setelah para sukarelawan selesai solat Asar secara berjemaah, terdapat juga adik-adik kecil yang tertidur kerana keletihan. Sebelum berangkat pulang, para sukarelawan sekali lagi diminta untuk menguruskan adik- adik untuk solat Asar berjemaah, mereka juga diminta meneliti bacaan dalam solat, cara- cara bersolat dan kedudukan anggota ketika solat supaya betul dan sempurna. Apabila semuanya selesai,mereka memberi sedikit sumbangan kepada adik- adik ini. Berat rasa hati untuk meninggalkan adik-adik. Walaupun tidak sampai sehari bersama mereka tetapi rasa kasih dan sayang terhadap mereka telah mula berputik. InsyaAllah , jika diberi kesempatan lagi, ziarah mereka ini akan menyusul dari semasa ke semasa. Kira- Kira pada jam 5.00 petang, kami bertolak pulang ke UIA.
4 sis dan 2 bro, 2 bro lagi ada urusan lain
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ Sebaik- baik manusia ialah mereka yang dapat membuat kebaikan untuk manusia lain.”
“Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak member manfaat kepada orang lain.”
Main sorang2


3 comments:

NG aiskacang said...

hope laen kali bleh pegi lg..kesian kat adik2..diorang perlukan kasih syg

cahaya kejayaan said...

ye2...mereka sgt dahagakan kasih sayang....tpi itulah dugaan yang diorg perlu hadapi...bersabarlah wahai adik-adikku,kakak2 dan abg2 takkan biarkan korg hidup dalam kegelapan. Sesungguhnya Allah mnejanjikan sesuatu yang lebih baik selepas Dia ambil sesuatu drpd kta...

marzuqi said...

jom lepas raya nnti.
buat paperwork, dptkan bas..