Wednesday, April 27, 2011

Ziarah Pesakit di PPUM


KEBAJIKAN adalah sesuatu perbuatan yang baik yang membawa kebaikan. Setiap individu berusaha dan berlumba-lumba melakukan amalan soleh dan kebajikan serta menyegerakan berbuat sesuatu tanpa ditangguh-tangguh.
Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Bukit Damansara bersama Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Perkim Kebangsaan berkesempatan menziarahi 100 pesakit di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya.
Dalam program pada 31 Mac lalu, Perkim Bukit Damansara turut menghulurkan buah tangan kepada 100 pesakit.
Program itu mendapat kerjasama daripada Kelab Perkim Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Petaling Jaya (PAUIAPJ).
Rombongan ziarah itu diketuai oleh Pengerusi Perkim cawangan Bukit Damansara, Puteh Kalsom Shamsudin dan Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan, Abdul Hanif Harun. Ia turut disertai beberapa kakitangan dan Sahabat Perkim.
Hilangkanlah segala penyakit dan sembuhkanlah ia wahai Tuhan Pencipta manusia, Engkaulah sahaja (Ya Allah) penyembuh segala penyakit, tiada kesembuhan kecuali daripada-Mu sahaja. Iaitu kesembuhan yang tidak akan dihinggapi penyakit lagi. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Puteh berkata, rombongan menziarah pesakit seperti ini adalah program berkala dilakukan di setiap hospital kerajaan dan swasta.
"Adalah menjadi hasrat utama Perkim cawangan Bukit Damansara untuk memperluaskannya ke seluruh Malaysia selain penganjuran aktiviti dakwah dan kebajikan lain.
"Ia bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim malah mengeratkan perpaduan tidak kira agama, bangsa dan keturunan."
Selain itu ia juga ujarnya adalah sebagai menyahut seruan kerajaan serta sokongan terhadap usaha dan tindakan yang di ambil sebagai organisasi Islam yang prihatin. Mesej keprihatinan ziarah yang mulia ini dapat membuka mata masyarakat bertapa pentingnya amalan dan budaya menziarahi pesakit ini.
"Perasaan gembira, syukur dan terharu akan timbul apabila kita menjadi salah seorang pesakit yang diziarahi serta menerima sumbangan daripada pihak-pihak tertentu," jelas Puteh.
Antara pesakit yang ditempatkan di sini ialah mereka yang menghadapi kecederaan disebabkan kemalangan, kecederaan tulang, gangguan saraf, mendapat rawatan susulan, melakukan pembedahan disebabkan ketumbuhan, strok dan keabnormalan semula jadi.
Malaiyarsi Sellamuthu selaku ketua Jururawat Wad Trauma dan Pemerhatian serta Suriani Hashim selaku Ketua Jururawat Wad Kecemasan dan Trauma menyampaikan ucapan terima kasih kepada rombongan Perkim sambil mengetuai rombongan itu dalam sesi ziarah pesakit ke wad trauma dan pemerhatian, wad ortopedik, wad geriatrik dan wad trauma dan kecemasan.
Mereka juga berharap kerjasama yang terjalin di antara Pusat Perubatan Universiti Malaya dengan Perkim akan terus dilakukan untuk memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan dan berharap agar Perkim dapat mendedahkan aktivitinya melalui pameran untuk maklumat umum.
Turut hadir, Bendahari Sahabat PPUM, Datin Azizah Mohd. Arif, Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad dan Pegawai Dakwah Perkim, Zubaedah Husen Jawas Awad.

Taklimat dan pembahagian kepada 3 kumpulan oleh pengarah dakwah
Sister bermesra dan memberi sumbangan
ummi (berbaju hitam; sahabat PPUM) bemesra dgn pesakit.
brothers ziarah dan memberi sumbangan
Cenderamata kepada ketua wad
PPUM
sisters memberi sumbangan =p
Brothers ziarah dan bermesra dengan pesakit yg seorang pelajar ipt juga
Kami meneruskan ziarah ke pusat kecemasan
wad kecemasanwad kecemasan yang sepatutnya 1 orang pelawat sahaja boleh masuk setiap waktu

No comments: