Tuesday, June 23, 2009

Ilmu Yang Dapat Dicuri

Ketika belajar, Imam Ghazali rajin menyemak segala pengajaran dari gurunya dan mencatatnya baik-baik. Setelah bertahun-tahun belajar, catatannya telah berlonggok-longgok. Sehingga sampai masa dia harus pulang ke kampung halamannya dengan membawa semua ilmu yang didapatinya.

Maka semua catatan-catatannya itu diikatnya dengan baik dan dimasukkan ke dalam guni lalu dibawanya pulang. Sesampainya di tengah perjalanan, kafilah yang diikutinya telah dihadang oleh perompak.

Mereka membuka setiap bungkusan anggota kafilah dan merampas setiap barang berharga yang didapati. Pada gilirannya, barang-barang Imam Ghazali juga dibukanya.

"Kamu boleh ambil semua barang-barangku yang kamu suka, tapi jangan ambil bungkusan yang satu ini." kata Imam Ghazali sambil menunjuk pada guni besar yang berisi catatan-catatan hasil pembelajaran beliau.

Mendengar itu, si perompak merasa curiga. Mereka mengesyaki bahawa di dalam guni besar itu adalah barang yang sangat berharga sehingga pemiliknya merayu agar jangan diambil. Lalu mereka berebut membuka guni itu dan membongkar isinya.

Akan tetapi alangkah terperanjatnya apabila mereka mendapati bahawa di dalam guni itu hanyalah kertas-kertas buruk yang tidak berharga. Puas mereka selongkar, namun tidak menemukan apa-apa. Mereka merasa telah ditipu oleh Imam Ghazali.

"Kamu ni gila ke? Buat apa engkau membawa kertas-kertas buruk ini?" tanya para perompak.

"Inilah barang-barang yang sangat berharga bagiku, tapi bagi kamu sedikitpun tidak berfaedah." kata Imam Ghazali.

"Lalu apa kamu akan buat dengan kertas-kertas buruk ini?"

"Inilah hasilku belajar selama bertahun-tahun. Semua keterangan guruku telah ku catat ke dalam kertas-kertas ini. Jadi, jika kamu rampas ia, maka habislah ilmuku dan jerih payah ku selama bertahun-tahun hanyalah sia-sia belaka." jawab Imam Ghazali.

"Hanya ada di dalam kertas ini sajakah ilmu hasil kau belajar?" tanya seorang perompak.

"Ya."

"Kalau begitu, bodohlah engkau."

"Mengapa pula?"

"Catatan-catatan yang kamu simpan di dalam kertas itu bukanlah ilmu. Cuba fikir, sekiranya lembaran-lembaran kertas itu aku rampas dan ku bakar, bagaimana nasib mu? Ilmu kau dapat dirompak kalau macam tu."

Imam Ghazali terpegun mendengar hujah si perompak. Setelah difikir-fikir, dia berkata dalam hatinya; "Betul juga."

Mulai saat itulah Imam Ghazali telah memindahkan segala catatannya ke dalam cakera padat, yakni otaknya. Siang malam dia menghafal segala apa yang diperoleh daripada gurunya dan dengan mudah pula ia mengeluarkannya sewaktu diperlukan.

Di samping itu tidak ada sesiapa yang boleh mencuri ilmu dari dalam otaknya. Ini semua berkat idea si perompak.

No comments: