Thursday, July 11, 2013

Sebenarnya Ramadhan Bulan Mulia (SRBM)

Mencari keberkatan ramadhan.

Assalamualaikum...
                Ramadhan kembali, dan Alhamdulillah kita masih berkesempatan untuk meyertai ‘pesta ibadah’ pada tahun ini.Pastinya, ramai antara kita awal-awal lagi sudah menetapkan misi dan matlamat masing-masing , “aku nak khatam Al-Quran ramadhan  ini”,”aku berazam nak tahajjud setiap malam” dan banyak lagi dialog sebelum ramadhan.Tidak terkecuali, ada antara kita yang masih terkial-kial dalam menghadapi Ramadhan, dialog yang sama diucapkan setiap tahun…”malaslah nak puasa, sebulan kot”,”alamak, puasa tahun lepas tak ganti lagi”.


                Perasankah anda, banyak perubahan akan berlaku apabila masuk musim berpuasa.Masjid-masjid yang dahulunya sunyi sepi, kini penuh bagaikan lebah menghurungi sarangnya.Televisyen dan radio yang asyik menghidangkan hiburan yang melalaikan, tiba-tiba bertukar menjadi televisyen yang menghidangkan program keagamaan dan drama-drama dakwah.Pusat-pusat kebajikan yang sebelum ini diabaikan seperti rumah anak yatim penuh ditempah oleh badan organisasi bagi meraikan golongan yang  kurang bernasib baik dalam majlis berbuka puasa..Sesungguhnya, inilah antara sebab kenapa ramadhan merupakan bulan yang paling ditunggu-tunggu.Inilah dia berkat bulan ramadhan.Sememangnya kita tidak nampak  bagaimana syaitan itu dibelenggu, bagaimana pintu neraka ditutup manakala pintu syurga dibuka dan bagaimana bentuk pahala berganda-ganda yang dijanjikan apabila beramal pada bulan ini.Namun, kita dapat melihat betapa orang ramai berlumba-lumba dalam beramal pada bulan mulia ini, melakukan amalan seperti solat berjemaah, tadarrus Al-Quran dan banyak lagi.Inilah keistimewaan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain.

             
                Dan jika anda masih ingat, cuba imbas kembali sesi yang lalu.Apakah yang kita lakukan usai 30 hari kita menahan diri dari lapar dan dahaga.Apakah kita berjaya meneruskan amalan-amalan seperti solat sunat tahajjud setiap malam?Adakah kita berjaya mengkhatamkan Al-Quran sebulan sekali, atau paling tidak 3 bulan sekali?Apakah kita terus menjadi makmum di masjid pada bulan-bulan seterusnya?,atau masih lagi kembali lalai dalam menunaikan tanggungjawab kepadaNya?Jangan letak jawapan anda pada komen di bawah.Tanya sendiri dan jawab sendiri dalam hati.Sebelum kita pelik dengan televisyen yang terus menerus menjamu penontonnya dengan perkara lalai selesai ramadhan,hal ehwal artis dan banyak lagi, pelik dulu dengan diri kita yang masih lagi lupa dan leka.Memang benar istiqamah itu sukar, tetapi paling tidak, berusaha untuk istiqamah, Allah kan Maha Adil dan Maha Teliti akan sesuatu.JANGAN PUTUS HARAPAN!!!


                Dan cuba kali ini, tanam niat dalam hati kita, agar momentum ramadhan ini tidak berhenti pada 1 syawal sahaja.Bagaikan sebuah kereta ingin ke satu destinasi yang jauh, pasti perlukan servis dan penambahbaikan yang mantop. Logiknya, kereta yang selesai diservis akan lebih power dan laju.Begitu juga hidup ini, untuk sampai ke kampung akhirat dengan selamat, kita memerlukan ramadhan sebagai pusat servis kita sebelum meneruskan perjalanan yang kita tidak tahu bila kita akan sampai.Jangan berhenti berlari!Jika anda masih berjalan, cuba untuk berlari bukannya  merangkak.

Ramadhan Kareem….Allahu Akram.

#Jadi hamba Allah, Jangan jadi hamba Ramadhan…

No comments: