Sunday, October 10, 2010

Halawatul Ramadhan Di Kampung Trisu, Cameron Highlands

“Sesuatu yang indah bukanlah yang sentiasa berada di depan kita, sesuatu yang indah bukanlah yang dapat kita lihat, tetapi sesuatu yang indah adalah yang akan selalu berada di dalam hati kita, yang selalu dikenang dan terlirih dalam doa.”

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi, Kelab Perkim CFS UIA PJ berjaya menganjurkan satu lagi program bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini. Program ini dinamakan Halawatul Ramadhan yang bermaksud kemanisan Ramadhan. Program ini bertempat di Kampung Trisu, Cameron Highland berlangsung dari 27 Ogos sehingga 29 Ogos 2010 yang disertai oleh 37 orang ahli Perkim bersama-sama dengan orang asli Kampung Trisu. Objektif program ini adalah untuk sama-sama merasai pengalaman berpuasa bersama penduduk kampung orang asli serta berdakwah dan bersesuaian dengan motto program ini ialah ‘manisnya ramadhan dirasa bersama’.

Pada pagi 27 Ogos, 8.30 pagi, semua ahli-ahli Perkim yang terlibat berkumpul di hadapan Fatimah Zahra College. Sebelum bertolak, semua peserta telah diberikan sedikit taklimat tentang keadaan dan aktiviti yang akan dilakukan di sana oleh abah. Tepat jam 9.00 pagi, semua peserta bertolak ke Kampung Trisu menaiki bas. Perjalanan memakan masa selama 5 jam. Setibanya di persimpangan ke Kampung Trisu, kami dikehendaki menunggu beberapa buah kereta untuk sampai ke Kampung Trisu disebabkan keadaan jalan yang sempit dan berbukit yang tidak boleh dilalui oleh bas. Akhirnya setelah melalui jalan yang berbukit bukau sejauh 8 kilometer, kami selamat tiba di Kampung Trisu. Kami disambut dengan baik oleh tuan rumah,pakcik Kuek sekeluarga. Keadaan yang dingin dan hujan renyai-renyai tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan aktiviti seperti yang dirancang.

Tepat jam 3.00 petang, kami semua bertungkus lumus dan saling membantu untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Hasil kerjasama semua pihak, akhirnya juadah berbuka bermenukan nasi putih, ayam masak merah dan sayur kubis goreng dapat disiapkan. Kemudian, semua peserta bekerjasama mengagihkan makanan kepada semua penduduk Kampung Trisu sebagai juadah berbuka puasa. Pada malamnya, semua peserta bersama-sama menunaikan solat Maghrib, Isya’ dan terawih secara berjemaah. Kemudian, kami semua dihidangkan dengan moreh bubur kacang yang menyelerakan hasil kerjasama beberapa orang biro catering. Selepas menjamu selera, kami diberikan sedikit taklimat ringkas daripada pengarah program. Kemudian, semua dibenarkan berehat dan tidur.

Keesokkan harinya, jam 3.00 pagi beberapa peserta yang ditugaskan memasak juadah sahur bangun dan sama-sama membantu memasak juadah sahur bermenukan nasi putih, daging masak kicap dan sayur kubis goreng. Kemudian, beberapa orang ditugaskan untuk menghantar makanan sahur kepada semua penduduk kampong. Selepas selesai bersahur, semua peserta bersama-sama menunaikan solat subuh berjemaah dan mendengar sedikit kuliah subuh daripada saudara Azuan. Kemudian, tepat jam 8.30 pagi, semua peserta berkumpul dan dibahagikan kepada empat kumpulan untuk meneruskan aktiviti gotong-royong. Kami bekerjasama dan saling membantu membersihkan kawasan surau dan persekitaran kampung.

Selepas semuanya selesai, beberapa orang peserta bertungkus lumus menyiapkan tempat untuk aktiviti telematch. Alhamdulillah aktiviti telematch mendapat sambutan yang hangat daripada adik-adik di Kampung Trisu. Sebanyak 5 permainan diadakan iaitu belon kaki tiga, tayammum, belon beracun, merempit dan mandi muzik yang disertai oleh ahli-ahli Perkim dan adik-adik Kampung Trisu. Selepas selesai telematch, semua bersurai dan bersedia untuk menyiapkan diri bagi menunaikan solat Zohor berjemaah. Kemudian, kami semua bekerjasama bergotong-royong untuk menyiapkan juadah berbuka puasa. Walaupun semuanya penat, namun masih bersemangat untuk saling membantu menyediakan juadah berbuka puasa. Lebih kurang 2 jam bertungkus lumus di dapur, akhirnya juadah berbuka puasa bermenukan nasi putih, sup ayam, air asam, dan sayur kubis goreng dapat disiapkan. Kemudian, kami semua dibenarkan untuk membuat aktiviti masing-masing. Beberapa orang sempat mengikut abah dan umi membeli buah strawberi manakala yang lain mengambil peluang untuk bersiar-siar di sekitar kampung. Tepat jam 6.30 petang, kami semua bekerjasama mengagihkan juadah berbuka puasa kepada semua penduduk kampung. Kemudian, setelah selesai berbuka puasa, semua menyiapkan diri untuk menunaikan solat Maghrib, Isya’ dan terawih secara berjemaah. Selesai solat, semua dihidangkan dengan moreh jagung rebus yang manis. Kemudian, sedikit taklimat diberikan oleh penyelaras program tentang aktiviti yang bakal diadakan keesokkan harinya. Selepas itu, semua dibenarkan berehat dan tidur.

Esoknya, seperti biasa, jam 3.00 pagi, beberapa orang yang ditugaskan memasak juadah sahur bergotong royong menyediakan nasi putih, sup sayur, daging masak kunyit dan telur dadar. Kemudian, beberapa orang ditugaskan menghantar juadah sahur kepada penduduk kampung. Selepas itu, semua bersiap menunaikan solat subuh berjemaah dan diteruskan dengan majlis khatam Al-Quran. Tepat jam 7.30 pagi, semua peserta berkumpul dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk diagihkan sumbangan kepada penduduk kampung. Kemudian, setelah selesai mengagihkan sumbangan, pakcik Kuek mengetuai rombongan melawat kawasan kampung dan kebun-kebun sayuran. Semua peserta kelihatan gembira dapat melihat sendiri tanaman-tanaman digredkan. Selepas itu, semua berkumpul di halaman rumah pakcik Kuek untuk meneruskan aktiviti penyampaian hadiah. Semua adik-adik kelihatan gembira mendapat hadiah masing-masing. Kemudian, semua ditugaskan membersihkan perkakas dapur dan kawasan persekitaran sebelum berangkat pulang. Tepat jam 12.00 tengahari, kami semua bertolak pulang. Dalam perjalanan pulang, rombongan kami singgah sebentar di Tapah untuk membeli sedikit cenderahati. Tepat jam 6.00 petang, kami semua selamat tiba di UIA PJ.

No comments: