Sunday, October 10, 2010

Laporan Lawatan Pantauan Ke Perkampungan Orang Asli Sg.Jedah Banting,Selangor Untuk Program Ziarah Kasih

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya; Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim: Ia menamakan kamu "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah ( Muhammad ) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNYA) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (Al-Hajj: 78)

Selaras dengan seruan jihad dalam firman ALLAH s.w.t ,surah Al-Hajj:78,Kelab PERKIM Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PAUIAM) Kampus Petaling Jaya telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program bersama-sama komuniti Orang Asli di Sungai Jedah,Banting Selangor. Program yang diberi nama ‘Ziarah Kasih Perkampungan Orang Asli’ ini adalah bertemakan ‘Semarak Kasih,Ukhuwah Tercipta’.Program ini adalah amat bertepatan dalam usaha kelab untuk mencapai matlamatnya,bagi menjadi sebuah kelab yang bergiat aktif dalam menyebarkan dakwah Islamiah di dalam mahupun di luar kampus dan secara tidak langsung hal ini akan menjadi medan yang terbaik buat pelajar-pelajar khususnya ahli kelab sendiri untuk menunaikan tanggungjawab dakwah mereka.

Sehubungan dengan itu,pada 18 Julai 2010 yang lalu,Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PUIAM) Petaling Jaya telah menghantar wakil seramai lima orang pelajar bagi mengadakan pemantauan awal bagi melaksanakan program tersebut.Daripada lawatan awal tersebut,didapati bilangan penduduk yang beragama Islam hanya dua puluh peratus daripada jumlah penduduk sebenar.Hampir keseluruhan masyarakat Islam di sana sangat berminat dalam mempelajari dengan lebih mendalam tentang agama Islam.

Oleh itu, adalah menjadi keutamaan kami untuk menganjurkan program ini agar dapat memberikan pendedahan yang lebih meluas tentang Islam kepada komuniti orang asli agar mereka dapat mengamalkan Islam sebagai gaya hidup mereka. Selain itu, kami berharap supaya mereka dapat merasakan kebahagiaan dan ketenangan dalam menganuti agama Allah s.w.t ini.

Lawatan awal ini telah diselaras oleh Haji Mohd Nor Hashim Mohamed.Lawatan ini turut disertai pelajar-pelajar daripada jurusan Sains Kemanusian Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PAUIAM) Kampus Nilai seramai empat puluh orang.Mereka telah ditugaskan untuk menjalankan kajian bagi agama-agama dan cara hidup yang diamalkan oleh komuniti orang asli disana.Kami turut sama membantu mereka bagi melicinkan lagi program sehari mereka bersama penduduk disana.

Peserta bertolak dari PUIAM tepat jam 11.00 pagi dan selamat sampai pada jam 1.00 tengahari. Kami disambut baik oleh Encik Bidin yang mana merangkap JKKK Kg.Sg.Jedah.Para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan ditempatkan dirumah keluarga angkat masing-masing.Mereka telah ditugaskan untuk memasak makanan tengahari bersama-sama keluarga angkat masing-masing.

Selesai makan tengahari dan solat Zohor,acara diteruskan dengan aktiviti sukaneka yang mana bertujuan merapatkan lagi hubungan antara pelajar dan penduduk kampung.Antara permainan yang dijalankan ialah lari dalam guni,bawa bola ping-pong dalam sudu,lari bersama batang getah dan gula-gula dalam tepung.Keceriaan jelas terpancar pada wajah para penduduk kampung.Kami berpeluang menemu ramah Encik Bidin untuk mendapatkan maklumat berkenaan komuniti orang asli di kampung tersebut.Menurut Encik Bidin,terdapat 80 buah rumah yang menetap di perkampungan tersebut dan hanya sepuluh buah rumah yang menganut agama islam.Masalah itu turut diakui oleh Ustaz Rosli Mustafa yang ditugaskan menyelia kampung tersebut.Kebanyakkan daripada penduduk kampung bekerja sebagai nelayan dan sebahagian yang lain bekerja sebagai buruh di ladang-ladang kelapa sawit dan bercucuk tanam.

Penduduk perkampungan orang asli di Sungai Jedah agak bernasib baik kerana dilengkapi kemudahan yang agak lengkap.Terdapat sekolah rendah dan menengah yang berdekatan,perpustakaan mini,balai raya dan padang bola sepak yang dibina bagi kemudahan penduduk di sana.Fokus utama untuk Program Ziarah Kasih akan lebih terarah pada pendekatan untuk merapatkan ukhuwah dengan komuniti orang asli agar kita dapat memberi contoh akhlak terbaik umat islam dan dapat menarik minat mereka untuk mendalami seterusnya menganuti agama yang mulia ini.Pihak JKKK,amat berbesar hati dengan kesudian kami memilih kampung tersebut untuk melaksanakan Program Ziarah Kasih kerana menurutnya program sebegitu dapat mendekatkan penduduk kampung dengan amalan-amalan umat islam dengan lebih mendalam.

Program lawatan awal itu berakhir dengan upacara penyampaian hadiah oleh Haji Mohd Nor Hashim Mohamed kepada para pemenang sukaneka.Penduduk kampung juga turut dijamu dengan sedikt jamuan ringan.Dalam masa yang sama.para pelajar juga turut dihiburkan dengan persembahan tarian sewang.

Moga Program Ziarah Kasih yang dirancang pada 5 hingga 8 Oktober 2010 dapat dilaksanakan dengan lancarnya dan berjaya mencapai objektifnya.Justify Full

No comments: